Gencatan senjata sementara seperti yang dipersetujui Israel dan Hamas yang terlibat dalam peperangan hampir tujuh minggu itu akan berkuat kuasa pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) ini (Jumaat). – Gambar REUTERS
KERAJAAN Qatar yang bertindak sebagai perunding antara Israel dan Hamas memaklumkan, gencatan senjata sementara seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan hampir tujuh minggu itu akan berkuat kuasa pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) ini (Jumaat).
Dalam masa sama, Qatar juga menjangkakan, seramai 13 tebusan rakyat Israel yang berada dalam tawanan Hamas juga akan dibebaskan hari ini, kata jurucakap Kementerian Luar negara itu, Majid al-Ansari.
Menurut beliau, sasaran Qatar ialah rundingan berkenaan sekali gus akan berakhir dengan gencatan senjata yang berkekalan.
Beliau berkata, sebahagian daripada 13 tebusan itu terdiri daripada wanita warga emas dan kanak-kanak yang dijangka dibebaskan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).
Kata Majid, pada masa ini tiada sebarang “pergerakan” di lapangan dan ia hanya akan berlaku pada ruang masa yang ditetapkan setiap hari gencatan yang dipersetujui selama empat hari.
Kesemua tebusan itu akan diserahkan kepada Palang Merah dan ideanya ialah penyerahan akan berlangsung dengan penuh keselamatan bagi semua pihak yang terlibat, jelasnya.
“Kita harus ingat, ini adalah zon perang,” tegas Majid lagi.
Berdasarkan rundingan yang dicapai, Hamas akan membebaskan 50 tawanan dalam tempoh empat hari gencatan sementara itu.
Majid juga mengesahkan beberapa, Qatar menjangkakan rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel juga akan dibebaskan.
Namun begitu, beliau tidak dapat berkongsi jumlah rakyat Palestin yang akan dibebaskan oleh Israel. – Agensi
— AWANI
Add Comment