Site icon Sabah Baru News

Israel sahkan 39 rakyat Palestin akan dibebaskan hari ini

Syarat Israel, banduan Palestin hanya akan dibebaskan selepas tebusan Israel (gambar) di bawah penguasaan Hamas diserahkan. – Gambar REUTERS


TEL AVIV:
Pihak berkuasa Israel mengesahkan akan membebaskan 39 rakyat Palestin yang dipenjarakan zionis itu sebagai memenuhi rundingan yang dicapai dengan Hamas, kata seorang pegawainya kepada CNN.

Kesemua banduan berkenaan akan dibawa dari dua penjara iaitu Damon dan Megiddo sebelum dibawa ke penjara Ofer di selatan Ramallah, Tebing Barat bagi melalui pemeriksaan terakhir oleh Palang Merah.

Dari sana, kesemua rakyat Palestin itu akan dibawa melalui Beitunia untuk melintasi sempadan sebelum menuju kampung halaman mereka.

Mereka yang terdiri daripada wanita dan remaja lelaki yang berusia sehingga 18 tahun dijangka antara yang akan dibebaskan.

Menurut laporan CNN, waktu pembebasan mereka masih belum ditentukan, namun begitu, pihak berkuasa Israel menegaskan, banduan Palestin itu tidak akan dibebaskan selagi tebusan Israel di bawah penguasaan Hamas tidak diserahkan.

Terdahulu, agensi berita itu melaporkan seramai 13 tebusan rakyat Israel yang berada dalam tawanan Hamas juga akan dibebaskan sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) ini.

Menurut kenyataan Hamas, kesemua 13 tebusan itu akan memasuki Israel melalui dua lokasi iaitu Nitzana yang juga sempadan dengan negara Mesir dan akses kedua melalui Kerem Shalom iaitu di seberang Gaza.

Sebaik tiba di wilayah Israel, kesemua tebusan yang dibebaskan akan dibawa menaiki helikopter menuju hospital terdekat di Tel Aviv bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. – Agensi

AWANI

Exit mobile version