KOTA KINABALU: Tindakan hapus kira (write-off) hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Sabah Development Bank (SD Bank) adalah selaras dengan Perjanjian ‘Nominated Loan’ yang ditandatangani pada 29 September 2010 di antara kerajaan negeri dan SD Bank.
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perjanjian itu dengan jelas menyatakan semua risiko kredit dan pinjaman dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, pemberi pinjaman iaitu SD Bank tidak akan menanggung sebarang risiko atau kerugian dalam keingkaran membayar balik dan pembayaran pinjaman atau mana-mana hutang yang timbul di bawah perjanjian itu.
Katanya, hapus kira hutang adalah salah satu kaedah pemulihan hutang tidak berbayar (NPL) bagi meningkatkan kredibiliti SD Bank sebagai institusi kewangan kerajaan negeri.
“Ia selaras usaha untuk meneruskan pembiayaan ke atas projek-projek di bawah Perjanjian Rangka Kerjasama Strategik bersama Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
“Penyelesaian ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari 2024 sehingga selesai. Justeru, pembiayaan kerajaan negeri ini mampu meningkatkan keupayaan SD Bank dalam merancakkan pembangunan ekonomi di sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai jumlah NPL oleh GLC termasuk Sabah International Petroleum (SIP) kepada SD Bank dan tindakan hapus kira sedangkan keutamaan kerajaan negeri sepatutnya kepada pembangunan prasarana pada sidang DUN hari ini.
Masidi berkata, Kerajaan negeri yakin dengan lebihan pembiayaan itu, SD Bank berupaya untuk membiayai program-program pembangunan yang bermanfaat dari segi sosial dan ekonomi, melalui agensi-agensi kerajaan dengan kewangan yang kukuh.
Dalam pada itu katanya, baki hutang GLC kepada SD Bank adalah berjumlah RM2.2 billion setakat suku ketiga tahun ini.
“RM1.2 bilion adalah baki hutang SIP. Selepas pengambil alihan SIP oleh SMJ Energy Sdn. Bhd. (yang dahulu dikenali SMJ Sdn. Bhd.) sebanyak RM700 juta telah diselesaikan dalam fasa pertama.
“Merujuk kepada NPL oleh GLC, hutang ini adalah baki pinjaman anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada SD Bank yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman dan akhirnya tidak mampu beroperasi.
“Sehubungan itu, kegagalan GLC ini untuk membayar balik pinjaman adalah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan SD Bank terus kekal relevan melalui penstrukturan semula yang komprehensif.
Katanya, antara usaha yang dilaksanakan untuk mengukuhkan tadbir urus syarikat adalah melalui pemilikan penuh SD Bank di bawah ‘Chief Minister (Incorporation) Ordinance’ dan pelantikan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan baharu yang profesional bagi memantapkan struktur dan pengurusan SD Bank.
Menurutnya, sekiranya penstrukturan semula SD Bank ini tidak dilaksanakan dan mengakibatkan SD Bank gagal beroperasi, keadaan ini akan memberi kesan buruk kepada kedudukan dan kredibiliti negeri Sabah.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment