Site icon Sabah Baru News

Pembangunan belia kekal menjadi keutamaan – Hajiji

ALBUM: Hajiji (duduk tengah), Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arifin Arif bersama para peserta program merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Pembangunan belia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM16.89 juta pada Belanjawan Negeri 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu meningkat berbanding peruntukan yang diberikan tahun ini iaitu RM16.42 juta yang diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan kepimpinan belia merangkumi aktiviti seperti sukarelawan dan perpaduan sosial.

“Peruntukan yang lebih tinggi untuk tahun depan dengan jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan belia Sabah sebagai pemimpin masa depan.

“Pada 2024, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai program termasuk aktiviti kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan untuk memperkasakan belia selaras dengan Dasar Belia Sabah,” katanya semasa merasmikan Karnival Belia Sabah peringkat negeri 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10 juta untuk memperkenalkan inisiatif baharu iaitu, Program Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) kerana belia adalah aset dan harus diberikan peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, SYABAS adalah inisiatif untuk membantu usahawan belia memulakan dan memulihkan perniagaan mereka dari kesan COVID-19.

“Sehingga Oktober tahun ini, seramai 2,655 belia telah menerima RM2,000 setiap seorang dan 238 lagi diberikan RM5,000 setiap seorang dari skim itu,” katanya.

Hajiji berkata, selain memberi tumpuan kepada sektor utama di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, penekanan juga diberikan kepada tumpuan pelan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM44 juta melalui 10 inisiatif untuk membantu belia mencapai pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi swasta dan awam.

“Melalui semua inisiatif dan peruntukan yang tersedia untuk belia, saya harap kita dapat mencapai sasaran memastikan belia terus memperkasakan potensi mereka seterusnya dapat bersaing di peringkat global, mendapatkan pendidikan yang lebih baik serta  membuka peluang lebih besar untuk mereka, lebih tahan lasak menghadapi cabaran serta menjadi lebih kreatif untuk membentuk peluang baharu,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa slogan ‘Belia Sabah Maju Jaya’ akan sentiasa relevan seiring dengan slogan Sabah Maju Jaya kerana ia merangkumi semangat dan aspirasi untuk membangunkan Sabah serta membawa kejayaan kepada negeri ini.

“Ia juga mencerminkan keinginan kita untuk bergerak ke hadapan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial, terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

Hajiji berkata, Karnival Belia Sabah merupakan salah satu program penting sebagai penghargaan terhadap peranan belia dalam pembangunan negeri, ia juga platform untuk membina semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan permohonan Majlis Belia Sabah bagi mendapatkan bantuan intik penganjuran program roadshow belia 2024.

— TAMAT

Exit mobile version