KOTA KINABALU: Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Penubuhan Pusat Pemeriksaan dan Ujian Makanan di Sabah.
Pengerusi SEDCO Datuk Rubin Balang berkata, CAIQ Biosecurity Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pembuka laluan kepada produk-produk tempatan untuk ditingkatkan mengikut piawaian yang boleh dieksport ke pasaran China.
“Dengan usahasama yang masih di peringkat kajian wajar, perjanjian di antara SEDCO dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd ini akan menjadi perniagaan pertama SEDCO di Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) dan menjadi perintis kepada perniagaan lain yang akan diperkasakan.
“CAIQ Biosecurity Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan perundingan, pemeriksaan, ujian kebolehlaksanaan bagi produk-produk pertanian, makanan dan juga barangan kosmetik yang akan dieksport ke negara China dan syarikat ini juga bekerjasama dengan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Pusat Pemeriksaan dan Ujian Makanan di Sabah.
Melalui MoU itu, SEDCO akan melaksanakan kajian wajar bagi memastikan penubuhan pusat yang disebutkan dapat diimplementasikan dan dapat membantu produk-produk tempatan menembusi pasaran negara China.
SAIP dilancarkan pada 29 Januari 2008 menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SOC) dan dibangunkan di atas tanah seluas 186.07 ekar milik Institute for Development Studies Sabah (IDS) yang terletak di Kimanis, Papar.
–TAMAT
Add Comment