Home » Sabah mahu lebih ramai golongan B40 menikmati inisiatif Program MyLesen
Berita Tempatan Politik

Sabah mahu lebih ramai golongan B40 menikmati inisiatif Program MyLesen

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama para penerima Lesen Memandu B2 pada Majlis Perasmian Program MyLesen B2 Tahun 2023 Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Selasa.

TUARAN: Kerajaan Negeri mahu lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan terutama golongan B40 di Sabah dapat menikmati inisiatif Program MyLesen pada tahun hadapan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program itu merupakan salah satu usaha murni Kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2 iaitu motosikal bagi memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi mereka terutama dalam kalangan masyarakat di luar bandar.


“Inisiatif ini yang akan diteruskan pada tahun depan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, amat dialu-alukan oleh Kerajaan Negeri. Ia membabitkan lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi di mana bayaran ujian memandu akan ditanggung oleh kerajaan”.


“Inisiatif ini bakal dinikmati lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu. Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan turut dinikmati oleh lebih ramai lagi masyarakat kurang berkemampuan atau B40 di negeri ini pada tahun hadapan”, katanya ketika melancarkan Program MyLesen B2 Tahun 2023 Daerah Tuaran di Dewan Seri Sulaman dekat sini pada Selasa.

Katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2023 telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk kos bayaran latihan dan ujian bagi Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 yang memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima daripada golongan B40.


Menurutnya, usaha yang diambil Kerajaan Perpaduan ini menunjukkan betapa pentingnya Lesen B2 dalam memperkasakan mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi, terutamanya untuk golongan B40.


Hajiji berkata, Kerajaan Persekutuan dan Negeri sentiasa berusaha untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada masyarakat Madani yang menjadi keutamaan bagi negara, terutamanya dalam aspek pengangkutan kerana ia penting untuk melengkapkan rantaian ekonomi penduduk sekitar yang membolehkan mereka diberi peluang untuk meningkatkan ekonomi melalui kesaling-hubungan antara satu sama lain.

“Sabah menerima sebanyak 500 kuota Program MyLesen B2 yang melibatkan dua daerah iaitu Tuaran dan Kinabatangan. Hari ini di Tuaran, kita akan menyampaikan lesen B2 kepada seramai 246 calon yang telah berjaya dalam Ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Para penerima yang dipilih merupakan golongan B40 yang terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, e-Kasih, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penerima zakat”.


“Majoriti penerima adalah daripada mereka yang bekerja sendiri mengikut persekitaran daerah masing-masing seperti di kawasan pantai dengan aktiviti ekonomi nelayan dan di kawasan hulu aktiviti ekonominya pula adalah berasaskan pertanian”.


“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini dapat melahirkan ramai pemandu lesen B2 yang kompeten serta meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya”, tambahnya.


Hajiji berkata melalui Program MyLesen B2, kesemua modul kursus latihan dan ujian yang dihadiri oleh calon adalah setara dengan ketetapan sedia ada, membuktikan komitmen dan usaha berterusan JPJ dalam memastikan kesemua penunggang motosikal betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.


Katanya, komitmen Kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya perlu didokong oleh semua penerima Lesen B2, dan sentiasa menjadi pemandu yang berhemah, mengamalkan pembudayaan keselamatan jalan raya dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

–Tamat

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment