BETUL parti Warisan berjaya menafikan kerusi Barisan Nasional (BN) pada PR14, tetapi parti itu tidak mendapat jumlah kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, demikian juga pada RN16 Sabah, walaupun single parti yang menang kerusi terbanyak tetapi tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.
Dalam sejarah penyertaan parti itu dalam pilihan raya, tidak pernah diberi mandat oleh rakyat Sabah.
Pada Ahad (semalam) Timbalan Presiden parti itu, Darrel Leiking selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Semporna, menyatakan bahawa pada PRN17 Sabah parti itu akan menerajui kerajaan Sabah semula.
Betul parti itu menjadi kerajaan pasca PRU14, kerana tindakan beberapa ADUN Umno dan UPKO berpaling tadah menyebabkan Kerajaan BN Plus tumbang pada 12 Mei 2018.
Pada 30 Julai 2020, mereka yang menjadi punca penubuhan kerajaan Warisan, juga menjadi punca tumbangnya kerajaan yang membuka laluan pada PRN16 Sabah semasa pandemik Covid-19 sedang memuncak.
Semasa PRN16 tersebut, rakyat Sabah membuktikan sekali lagi, bahawa parti Warisan adalah parti yang tidak pernah diberi mandat, dan seterusnya gagal mempertahankan kerajaan tebuk atap.
Tindak tanduk pemimpin parti Warisan yang tidak konsisten, telah menjadi asas kuat bagi rakyat Sabah menolak parti itu, seperti mana dibuktikan pada PRU15, apabila gagal mempertahan 5 kerusi parlimen, termasuk kekalahan Darell di Parlimen Penampang, kekalahan Aziz Jamman di Sepanggar.
Apabila perjuangan parti sudah tercalar, sedangkan pemimpin yang menjadi puncanya kekal sebagai tunggak, dan kemudiannya marayu rakyat menyokong semula, seolah-olah mahukan rakyat mengulang dipatok ular di lubang yang sama.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News