TAWAU: Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui meminta kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) supaya menaik taraf infrastruktur di Lapangan Terbang Tawau (LTT) dengan kadar yang segera.
Beliau berkata, LTT bakal menerima ramai kemasukan pelancong asing pada tahun hadapan melalui penerbangan terus dari Shenzhen, China.
“Saya menyambut baik pengumuman Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengenai penerbangan terus berkenaan.
“Kita percaya penerbangan itu akan memberi manfaat sektor pelancongan dan ekonomi di Pantai Timur Sabah, khususnya di Tawau serta bandar berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, infrastruktur di LTT ketika ini masih kurang memuaskan dan sudah pasti memberi imej tidak baik bagi negeri ini khususnya daerah Tawau.
“Justeru, saya berharap Menteri Pengangkutan Anthony Loke dapat memberikan perhatian sewajarnya untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan di LTT.
“Ia bagi memenuhi permintaan lebih banyak penerbangan terus dari luar negara dan peningkatan jumlah pelancong pada masa akan datang.
“Saya percaya sekiranya LTT dapat dinaik taraf, sudah pasti banyak lagi permintaan penerbangan terus dari luar negara, sekali gus dapat merangsang pertumbuhan pelancongan serta ekonomi Sabah,” katanya.
Lo berkata, kemudahan bangunan terminal, kaunter imigresen, tempat letak kereta, tandas dan perkhidmatan lain adalah perkara utama yang perlu diambil perhatian.
“Saya optimis dengan kemudahan yang baik dan kecekapan pegawai penguatkuasa di LTT mampu memberikan kepuasan kepada pelancong asing yang datang.
“Sebagai pemimpin di daerah ini juga akan memastikan dan memberikan kerjasama kepada kementerian pelancongan untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi wajib dikunjungi,” katanya.
Dalam pada itu, Lo berkata, pemain pelancong di daerah ini juga perlu bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi menyambut kedatangan pelancong dari Shenzhen, China.
“Saya berharap pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, pengangkutan, pemandu pelancong dan sebagainya perlu memastikan pelancong mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“Warga Tawau khasnya perlu mengambil kesempatan dan manfaat daripada penerbangan terus dari China yang dijangka pada awal tahun hadapan,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment