Home » Harap kuota Program MyLesen untuk Sabah ditingkatkan, bagi membolehkan masyarakat luar bandar mendapat manfaatnya
Berita Tempatan Politik

Harap kuota Program MyLesen untuk Sabah ditingkatkan, bagi membolehkan masyarakat luar bandar mendapat manfaatnya

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) .

KOTA KINABALU: Inisiatif Program MyLesen yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan diharap bukan sahaja diperluaskan di seluruh pelusok daerah dan luar bandar di wilayah Sabah tetapi juga ditingkatkan bilang kuota bagi membolehkan lebih ramai lagi masyarakat kurang berkemampuan khususnya golongan B40 mendapat manfaatnya.

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) yang menyambut baik inisiatif itu berharap tahun hadapan lebih ramai masyarakat terutama di luar bandar terpilih untuk menyertai Program MyLesen seperti yang dibentang dalam Belanjawan 2024 lalu.


Beliau percaya inisiatif itu berupaya menjayakan sasaran Kerajaan Perpaduan untuk membasmi kemiskinan melalui program MyLesen bagi membantu golongan sasar mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2 iaitu motosikal bagi memperkasa mobiliti yang secara tidak langsung memperluaskan peluang pekerjaan.


Mohd Shahril menaruh harapan agar masyarakat kurang berkemampuan yang tergolong dalam kategori B40 di daerah Beaufort dan sekitar dapat menikmati Program MyLesen pada tahun hadapan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di luar bandar.


Justeru beliau berharap kerajaan Madani dapat mempertimbangkan untuk meningkatkan kuota MyLesen untuk Sabah tahun hadapan bagi membolehkan belia dari keluarga kurang berkemampuan terutama B40 menikmati faedah daripada program yang ditawarkan kerajaan.

Mohd Shahril yakin sekiranya perkara itu diberi pertimbangan berdasarkan matlamat untuk membasmi kemiskinan, usaha murni berkenaan tentunya dapat melahirkan masyarakat yang kompeten dan dinamik sekaligus memenuhi keperluan rantaian ekonomi setempat.


Tambahan itu, Mohd Shahril berkeyakinan pendekatan yang diambil kerajaan menerusi Program MyLesen secara tidak langsung dapat melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah dan juga masyarakat yang patuh terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan.


Selasa lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyempurnakan penyampaian lesen B2 kepada kira-kira 246 calon di Tuaran yang berjaya dalam Ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang rata-rata merupakan golongan B40 yang terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, e-Kasih, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penerima zakat.


Hajiji dalam ucapan berkata Kerajaan Negeri mahu lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan terutama golongan B40 di Sabah dapat menikmati inisiatif Program MyLesen pada tahun hadapan bagi membantu golongan sasar mendapat lesen motosikal.


Tambah Hajiji, program berkenaan merupakan antara usaha murni Kerajaan dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi terutama masyarakat di luar bandar.

Hajiji memberitahu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada masyarakat Madani yang menjadi keutamaan bagi negara, terutamanya dalam aspek pengangkutan kerana ia penting untuk melengkapkan rantaian ekonomi penduduk sekitar yang membolehkan mereka diberi peluang untuk meningkatkan ekonomi melalui kesaling-hubungan antara satu sama lain.


Melalui Program MyLesen B2, Hajiji berkata kesemua modul kursus latihan dan ujian yang dihadiri oleh calon adalah setara dengan ketetapan sedia ada, membuktikan komitmen dan usaha berterusan JPJ dalam memastikan kesemua penunggang motosikal betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

–Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment