Home » PM adakan lawatan ke Sabah, Labuan hari ini
Berita Tempatan

PM adakan lawatan ke Sabah, Labuan hari ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual mengadakan lawatan sehari ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. – Gambar fail BERNAMA

KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual mengadakan lawatan sehari ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Anwar dijadual memulakan lawatan dengan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, Tenom yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada 25 Ogos lepas, Hajiji dilaporkan berkata, empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas akan dibina dan dijangka siap pada 2027 antara lain sebagai penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negeri itu.

Perdana Menteri kemudian dijadual menghadiri Majlis Perasmian Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK 2023) di Dataran Buhavan Square, Penampang yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Pada Isnin lepas, Ewon dilaporkan berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka mengunjungi karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti Jualan Rahmah, persembahan artis tempatan dan jualan daripada usahawan di negeri ini.

Anwar kemudian dijadual melawat Wilayah Persekutuan Labuan pada sebelah petang dengan menghadiri majlis Menyantuni Ketua Isi Rumah Miskin Tegar Wilayah Persekutuan Labuan di Kompleks Ujana Kewangan.

Di lokasi sama kemudian Perdana Menteri akan menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Komuniti Wilayah Persekutuan Labuan sebelum menghadiri Majlis Makan Malam di Labuan Ballroom, Dorsett Grand Labuan.

Anwar kemudian dijadual bertolak balik ke Kuala Lumpur. – BERNAMA

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment