Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mula melakukan serangan balas pada Jumaat (2 Februari) di Iraq dan Syria susulan kematian tiga tentera AS di Jordan yang didakwa angkara pasukan pejuang yang disokong oleh Iran. – Gambar Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mula melakukan serangan balas pada Jumaat (2 Februari) di Iraq dan Syria, kata tiga pegawai kanan AS.
Tindak balas itu dilancarkan AS susulan kematian tiga anggota tenteranya selain menyebabkan 40 anggota lain cedera akibat serangan di Jordan yang didakwa dilakukan oleh pasukan pejuang yang disokong oleh Iran baru-baru ini.
Serangan itu dipercayai yang pertama dilancarkan dalam siri tindak balas pelbagai peringkat oleh pentadbiran Presiden Joe Biden.
Walaupun serangan AS tidak menyasarkan mana-mana lokasi di dalam Iran, ia berkemungkinan meningkatkan kebimbangan mengenai ketegangan di Asia Barat yang berpunca daripada perang lebih tiga bulan Israel dengan militan Hamas Palestin di Gaza.
Dua daripada pegawai itu yang enggan nama mereka disiarkan berkata, serangan itu menyasarkan kemudahan di Iraq dan Syria yang dikaitkan dengan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan pasukan pejuang yang disokongnya.
Sementara laporan lain – pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights berkata, enam anggota kumpulan pejuang pro-Iran telah terbunuh di timur Syria semasa serangan yang dipercayai dilakukan oleh AS itu.
Pesawat tempur dikesan melakukan empat pusingan serbuan udara di tapak yang menempatkan kumpulan pejuang yang disokong Iran di timur wilayah Deir Ezzor, dengan tiga daripadanya menyasarkan al-Mayadeen dan satu lagi menyerang Albu Kamal, berhampiran sempadan Iraq.
Tindakan AS melancarkan pengeboman di rantau itu berikutan ikrar Presiden Joe Biden untuk bertindak balas terhadap pasukan pejuang pro-Iran berhubung serangan dron Ahad lalu terhadap pangkalan AS di Jordan, dekat Syria.
Hanya beberapa minit sebelum laporan media AS yang pertama dikeluarkan, Biden berada di Pangkalan Udara Delaware bagi menghadiri upacara penghormatan terakhir kepada tiga anggota tentera AS yang terbunuh dalam serangan di Jordan.
Walaupun AS kini bebas daripada peperangannya di Iraq dan Afghanistan, namun, ketegangan yang meningkat di Asia Barat yang dicetuskan oleh pertempuran Israel-Hamas, mengancam untuk mengheret tentera AS kembali ke konflik serantau.
Ini adalah kematian tentera AS yang pertama akibat tembakan bermusuhan sejak serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan serangan maut Israel ke atas Gaza.
Bagaimanapun, tentera AS dan kumpulan yang disokong Iran di Iraq dan Syria secara berkala berbalas tembakan, manakala pemberontak Houthi Yaman hampir setiap hari bertempur dengan kapal Tentera Laut AS atau menembak kapal awam antarabangsa di Laut Merah. – Agensi
— AWANI
Add Comment