PAPAR: Sebanyak sebelas jenis barangan disenaraikan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2024 yang yang berkuat kuasa bermula 6 hingga 14 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata sebelas barangan itu ialah udang putih (antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), ikan bawal putih (berat antara 200 hingga 400 gram seekor); babi hidup; daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah.
“Skim harga maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (КРКМ) akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Hwa, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut meminta peniaga supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi memastikan pengguna mengetahui barang-barang itu telah ditetapkan harga maksimum iaitu barang yang dijual tidak melebihi harga yang ditetapkan KPDN melalui SHMMP.
Selain penetapan skim harga maksimum, Armizan memberitahu pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
“Melalui perbincangan kita dengan KPKM, kita juga mendapat maklum balas bahawa bekalan barang keperluan rakyat yang khususnya mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh perayaan ini adalah mencukupi, ” katanya.
Sepanjang musim perayaan ini, seramai 2,200 penguatkuasa KPDN serta 900 lagi pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh negara ditugaskan bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli belah.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment