Home » Wakil belia diharap dapat menyumbang idea dan pandangan konstruktif
Berita Tempatan Politik

Wakil belia diharap dapat menyumbang idea dan pandangan konstruktif

Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan Joehari Manan (kiri) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas ruang dan peluang yang diberikan kepada belia.

KOTA KINABALU: Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan Joehari Manan mengajak wakil-wakil belia supaya terus memberikan sumbangan idea dan pandangan yang konstruktif kepada MBS bagi memperkasakan lagi belia-belia di Sabah.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ia penting bagi membolehkan kepimpinan MBS dan badan gabungan MBS berbincang isu-isu yang relevan selain mencari penyelesaian terbaik.


Jelasnya ia juga secara tidak langsung membantu MBS menyusun strategi untuk melaksanakan program-program yang berupaya memberi impak positif kepada belia Sabah.

 
“Selain itu, saya juga menyeru kepada semua pimpinan belia supaya terus memotivasikan belia di negeri ini untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan komuniti, negeri dan negara. Ini kerana mereka adalah pemimpin masa depan, dan kita perlu memberi mereka ruang untuk berkembang dan berkarya.

“Sekiranya ada sebarang perkara yang perlu diperkatakan atau dicadangkan, saya seru kepada semua untuk berbicara dengan terbuka dan jujur. Manfaatkan mesyuarat nanti untuk kita bersama-sama mencapai matlamat ke arah pembangunan belia yang lebih berkesan, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi dan perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBS kali ke-26/2023 dekat sini pada Sabtu.


Dalam pada itu, Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama pimpinan MBS atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menjadi Pengerusi Tetap MBS.


“Pada malam ini dan esok adalah majlis terakhir saya mewakili MBS sebagai Pengerusi Tetap. Saya bersama-sama dengan beberapa pimpinan lain akan mengakhiri tempoh perjawatan kami di dalam MBS.

 
“Sumbangan tidaklah sehebat mana, namun setakat itulah kemampuan kami Bersama MBS selama lebih 10 tahun berkhidmat. Terima kasih MBS dan terima kasih Kerajaan Negeri Sabah atas ruang dan peluang yang diberikan, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus