PARTI-PARTI politik perlu mengikis anggapan sesebuah persempadanan pilihan raya adalah wilayah tradisi kerana komposisi pengundi telah berubah. Selain itu, kecenderungan terhadap parti politik juga telah berubah.
Perubahan juga berlaku kerana kesan persempadanan semula yang menyebabkan sesebuah kawasan berubah daripada segi komposisi pengundi. Kerana perubahan itu, jika dahulunya kawasan tertentu biasanya boleh dimenangi parti tertentu, akan tetapi selepas persempadanan dimenangi parti lain.
Perubahan di setiap kawasan persempadanan pilihan raya juga berlaku dengan drastik dengan pengelibatan undi automatik, iaitu mereka yang kali pertama mengundi dan undi18.
Jika diteliti kecenderungan undian pada PRN16 Sabah (September 2020) dan PRU15 (November 2022) trend pengundian amat berbeza, dan menjadi indikasi, bahawa kawasan tradisi sesebuah parti masa lalu tidak lagi tergunapakai walaupun tidak menyeluruh.
Oleh kerana perubahan demikian, perlu diambilkira, bahawa setiap kawasan berpotensi dimenangi oleh mana-mana parti. Mungkin kerana faktor demikian maka digunakan Presiden UPKO sebagai asas untuk mensasarkan bertanding 10 kerusi pada PRN17. Malangnya, kesan perubahan itu telahpun menghasilkan keputusan baharu iaitu PRN16, kerana pada PRN itu kali pertama digunakan persempadanan baharu. Kesan persempadanan baharu biasanya kekal untuk dua penggal.
Isu wilayah tradisi masih menghantui setiap parti, sedangkan wilayah seperti itu sepatutnya sudah berakhir apabila digunakan persempadanan baharu.
Terbukti pada PRN16, apabila parti tertentu memaksa bertanding di kawasan “tradisi” tetapi akhirnya kalah, malah di sesetengah kawasan keputusan sangat memeranjatkan, apabila undi yang diperolehi parti lawan menentang penyandang cukup besar, sedangkan sebelum persempadanan undi sebanyak itu tidak berlaku.
Oleh kerana perubahan demografik, kecenderungan pengundi telah berubah, maka parti-parti dalam mengagihkan kerusi perlu menggunapakai data atau maklumat terkini (up to date) berkaitan kekuatan masing-masing, jangan berpandu lagi pada istiliah wilayah tradisi atau nostalgia lalu.
Penulis terbaca ada sesetengah pemimpin parti tertentu membuat kenyataan berkaitan tuntutan atau kemahuan bertanding di kawasan tertentu yang disandang parti lain, dan parti itu adalah parti rakan, kerana merujuk latar belakang masa lalu. Rujukan sedemikian sepatutnya tidak lagi sesuai kerana perubahan masa, era juga perubahan komposisi pengundi.
Bagi parti-parti yang termasuk dalam parti gabungan, misalnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mana-mana parti mewakili gabungan itu perlulah berasaskan kepada kebolehmenangan tinggi, kerana matlamat adalah untuk gabungan itu menang minimum 37/73 pada PRN17 untuk mempertahankan kerajaan.
Tiada makna, berebut kerusi, yang menghasilkan menang sorak kampung tergadai. Fikir-Fikirkan.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News