KOTA KINABALU: Qhazanah Technology Sdn. Bhd. (QTSB) telah memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) iaitu dengan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) dan Handal Energy Services Sdn Bhd di Menara Kinabalu pada Khamis lepas.
MoU bersama SAFODA bertujuan menjalankan kerjasama bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan berkaitan pembangunan Tenaga Lestari, Telekomunikasi dan lain-lain.
Satu lagi Mou iaitu dengan Handal Energy Services Sdn. Bhd adalah untuk membangunkan Projek Hidroelektrik, dengan menjalankan kajian kemungkinan dan membangunkan loji kuasa hidro di Sungai Kuamut dan Sungai Pensiangan.
Di majlis MoU itu, QTSB diwakili Pnrgerusinya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari manakala SAFODA diwakili Pengerusinya Datuk Hamild Awang dan Handal Energy Services Sdn Bhd diwakili Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff.
Majlis menandatangani memorandum perjanjian telah disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong.
Mengenai MoU itu, Awang Ahmad Sah berkata, projek-projek itu bukan sahaja berupaya menyumbang kepada kemajuan infrastruktur negeri Sabah, tetapi secara tidak langsung sebagai usaha menerapkan penggunakan teknologi hijau dan memberi impak mesra alam terhadap alam sekitar.
“Kami yakin kerjasama ini akan mencipta impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah, membuka peluang pelaburan dan perniagaan, serta memberikan kelestarian kepada sekitar kita.
“Oleh itu, kerjasama sepenuhnya dari semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kejayaan dan impak positif projek-projek ini terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah.
“Saya berharap semua rakan usahasama serta agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECOS), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sawit Kinabalu Sdn Bhd dapat bersama saya, ” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Ahmad Sah berkata QTSB tekad memberi komitmen terbaik bagi memenuhi amanah itu bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran melalui projek yang akan dilaksanakan.
“Dengan semangat Sabah Maju Jaya (SMJ), kami di QTSB akan terus memberikan komitmen untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan Sabah dan berharap agar projek-projek ini dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti Sabah, ” katanya.
— TAMAT
Add Comment