Home » Kerajaan Sabah anjur majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan Krismas bermula tahun ini
Berita Tempatan Politik

Kerajaan Sabah anjur majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan Krismas bermula tahun ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima cendera kenangan dari ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Hakka Sandakan di sini hari ini.

SANDAKAN: Bermula tahun ini, semua perayaan besar di peringkat negeri Sabah akan dikendalikan secara rasmi oleh Kerajaan negeri mulai tahun ini kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau menyampaikan hasrat baik kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat Daerah Sandakan di sini hari ini.

“Kerajaan telah memutuskan penganjuran perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, seperti juga sambutan perayaan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan,” katanya sempena majlis itu di Dewan Hakka di sini pada Ahad.

Majlis Rumah Terbuka itu anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata rumah terbuka setiap perayaan di negara ini perlu menjadi platform untuk menyemai, memupuk dan mempertahankan keharmonian serta kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

Beliau berkata seperti juga perayaan yang lain antaranya Krismas, Aidilfitri, Deepavali dan Pesta Kaamatan yang diraikan oleh semua rakyat Malaysia, Tahun Baharu Cina adalah satu lagi perayaan besar yang penting.

“Justeru, marilah kita memanfaatkan sambutan perayaan seperti ini, bukan saja untuk meraikan Tahun Baharu Cina, tetapi juga menjadi platform mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.

“Berdepan dengan pelbagai cabaran untuk pemulihan dan kestabilan ekonomi, setiap daripada kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat besar. Saya menyeru kepada semua masyarakat Cina dan rakyat Sabah keseluruhannya untuk mengukuhkan jalinan kerjasama ini agar kita dapat menyediakan platform yang lebih kukuh dan terjamin untuk negeri ini,” katanya.

“Inilah keistimewaan kita di Sabah, perbezaan agama, bangsa dan budaya tidak menghalang untuk kita bersama-sama meraikan setiap perayaan yang ada di negara ini. Malah, hubungan persaudaraan tetap utuh walaupun berbeza kepercayaan.

“Saya berharap pada tahun ini juga kita dapat menangani pelbagai cabaran sama ada dalam aspek ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Beliau juga meminta rakyat akan bersama -sama kerajaan negeri berganding bahu dalam menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan ini yang dilancarkan pada tahun 2021 kini berada di landasan betul, dan diharapkan dengan sokongan berterusan daripada rakyat, ekonomi negeri akan terus kukuh sekaligus akan menarik lebih ramai lagi pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Fokus kita tidak pernah lari dari meningkatkan pembangunan negeri dan ekonomi rakyat. Jika ini dapat diteruskan, saya yakin kita dapat melaksanakan pelbagai lagi program untuk kebaikan takyat di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ADUN Tanjong Papat selaku Pengerusi Penganjur, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie dan ADUN Karamunting merangkap Pengerusi bersama, Datuk George Hiew Vun Zin.

Ketua Menteri turut menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cuba bersama pimpinan masyarakat Tionghua Sandakan di Bukit Sentosa, Sandakan.

— TAMAT