Home » Mas Ermieyati jangka BN namakan calon ‘heavyweight’ di Masjid Tanah
Politik Uncategorized

Mas Ermieyati jangka BN namakan calon ‘heavyweight’ di Masjid Tanah

Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon pertama PN bagi kerusi Parlimen oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, di sini, malam kelmarin.

MASJID TANAH, 24 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pertama malam kelmarin, menjangkakan Barisan Nasional (BN) bakal meletakkan calon ‘heavyweight’ atau nama besar menentangnya.

Beliau berkata, melalui maklumat diterimanya, BN dikatakan akan mencalonkan seseorang yang berjawatan tinggi dalam sektor awam untuk mencabarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita menjangkakan calon ‘heavyweight’ BN, jadi saya mesti kerja kuat untuk memberikan penjelasan kepada pengundi mengenai visi dan misi saya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.

“Bukan mudah untuk berhadapan dengan calon sedemikian. Yang penting, saya tetap berusaha gigih untuk memastikan kerusi Parlimen Masjid Tanah milik PN,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan sepak takraw di Kampung Nelayan Kuala Linggi, dekat sini, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, kempen terbuka yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal dimanfaatkan untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon pertama PN bagi kerusi Parlimen oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, di sini, malam kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata, Mas Ermieyati dipilih berdasarkan rekod perkhidmatannya selama menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2013.

Ada desas-desus BN bakal meletakkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk merampas kerusi Masjid Tanah daripada BERSATU yang dimenangi Mas Ermieyati.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar dari PKR dan Nasir Othman (PAS).

EDITOR