Home » Armizan mahu kerjasama GRS, PH diteruskan dalam PRN Sabah
Berita Tempatan Politik

Armizan mahu kerjasama GRS, PH diteruskan dalam PRN Sabah

Armizan berkata pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor “ikut-ikutan” atau paksaan, tetapi perlu melalui hasil muafakat dan saling kepercayaan.

KOTA MARUDU:Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali mahu perpaduan sedia ada antara gabungan itu dengan PH diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ahli Parlimen Papar itu berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama, dia mempunyai pendirian sendiri.

“Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing iaitu pada hakikatnya kerajaan negeri di Sabah hari ini adalah sebuah kerajaan perpaduan dengan acuan sendiri melibatkan gabungan GRS-PH Plus,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Jelajah Wanita GRS di Kota Marudu hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Inilah formula kerajaan perpaduan di Sabah. Selain Adun GRS, semua Adun PH dan beberapa ADUN dari parti lain membuat keputusan supaya Datuk Seri Hajiji Noor kekal Ketua Menteri Sabah dan GRS amat menghargai sokongan dan kebersamaan mereka,” katanya.

Armizan berkata pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor “ikut-ikutan” atau paksaan, tetapi perlu melalui hasil muafakat dan saling kepercayaan.

“Di pihak GRS, kami juga mahu mengelak risiko sejarah berulang. Tiba pilihan raya, kami mahu membentuk kerajaan yang stabil melalui permuafakatan.

“Bukan sahaja GRS perlu percaya kepada rakan kongsi, tetapi mereka juga perlu selesa dan yakin dengan kami,” katanya.

– Bernama

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment