ADALAH tindakan tidak betul apabila parti ditolak rakyat berlindung pada satu gabungan parti mensasarkan kerusi yang disandang parti rakan gabungan untuk ditandingi.
Berlindung dalam gabungan tidak memadam penolakan rakyat pada sesebuah parti walaupun parti itu boleh menang di kawasan yang sememangnya kawasan itu wilayah gabungan itu.
Sepatutnya parti ditolak rakyat yang menyertai sesebuah gabungan kerana ingin kekal relevan jangan bernafsu untuk meletakan calon apa tah lagi kerusi yang menjadi sasaran boleh merosakan hubungan gabungan dengan parti lain.
Di Sabah menjelang PRN17 nampaknya nafsu bertanding parti-parti yang pernah ditolak rakyat sangat ketara kerana mengambil peluang pada gabungan pelbagai parti yang disertai.
Sewajarnya parti-parti itu, perlu menonjolkan parti gabungan bukannya parti sendiri, kerana penonjolan parti sendiri mengingatkan rakyat berkaitan parti itu semasa ditolak.
Jangan lupa tindakan bergabung dengan parti lain adalah untuk mendapatkan talian hayat dalam politik, kerana itu, nafsu bertanding perlu diketepikan.
Tiada sesiapa yang boleh menolak, bahawa di Sabah masih dalam proses tercari-cari parti politik yang disokong majoriti rakyat atas sebab parti yang di beri mandat rakyat pada PRN16 telah berpecah.
Apa yang ada sekarang ini adalah kerjasama baharu menerusi kombinasi baharu antara parti-parti bermula pada 6 Januari 2023.
Menerusi kerjasama baharu, maka masing-masing parti perlu kembali ke “drawing board” untuk melakar semula misi masing-masing.
Salah satu pilihan yang difikirkan tepat adalah mempertahankan status quo iaitu kerusi yang disandang dipertahankan oleh masing-masing parti. Menerusi pendekatan ini maka mengurangkan pergeseran antara parti.
Matlamat kerjasama antara parti selain dapat mempertahankan kerusi yang disandang juga dapat merampas kerusi yang disandang parti lawan.
PRN17 Sabah adalah pilihan raya menentukan parti yang bakal mendapat mandat rakyat sekali gus sebagai parti dominan. Sebab itu mana-mana parti yang berhasrat meletakan calon perlu mengukur baju dibadan sendiri, kerana rakyat tidak boleh dipaksa menyokong.
Jika hasrat sesebuah parti gabungan menjadi pilihan rakyat, maka perlu membuat keputusan tepat dengan meletakan calon daripada parti komponen yang difikirkan mempunyai peluang menang. Fikir-Fikirkan.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .