SEMINGGU mutakahir ini, sekurang-kurangnya ada dua khabar gembira meniup semangat dan citra rakyat berbilang kaum dan bersilang adat di Sabah.
Kedua-duanya berkisar soal kehidupan masyarakat dalam lingkungan kepelbagaian dan keanekaragaman di negeri ini.
Bermula dengan pengumuman kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menganjurkan secara rasmi dua lagi perayaan — Tahun Baharu Cina dan Krismas — mulai tahun ini, disusuli pula dengan komitmen menubuhkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah untuk direalisasikan pada tahun ini.
Pengumuman pertama berkait soal perayaan bagi masyarakat Tionghua dan sambutan penganut agama Kristian, manakala khabar kedua merangkumkan kepentingan semua kaum dan etnik yang berpayung adat di bawah MAN.
Kedua-dua pengumuman itu dibuat sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, berselang beberapa hari di Sandakan dan Tuaran.
Sesungguhnya, dua pengumuman itu membawa makna dan signifikan cukup besar, dalam konteks kepelbagaian kaum dan budaya di Negeri Bawah Bayu ini.
Ini kerana khabar gembira sedemikian — di mana perayaan kaum dan agama dimurnikan sambutan, manakala sistem adat dimartabat — umpama sumbu pelita kerajaan GRS yang bernyala menyinari bumi Sabah.
Dengan pengumuman mengenai sambutan rasmi bagi Tahun Baharu Cina dan Krismas itu, bermakna kini semua perayaan besar peringkat negeri di Sabah dikendalikan secara rasmi oleh kerajaan negeri, seperti juga sambutan perayaan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.
Ini merupakan langkah proaktif kerajaan kerana sambutan sedemikian adalah wadah dan platform terbaik untuk menyemai, memupuk dan mempertahankan keharmonian serta kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negeri ini.
Sementara pengumuman penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah pada tahun ini, adalah petanda jelas kesungguhan kerajaan untuk memartabatkan undang-undang adat negeri Sabah.
Ia adalah satu transformasi besar bagi sistem perundangan berkaitan anak negeri yang merangkumi semua orang asal negeri Sabah.
Dengan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah itu nanti, ia bukan saja memartabat pemerkasaan undang-undang, tetap juga turut memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada semua ketua-ketua adat di mahkamah.
Difahamkan bahawa sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) telah ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakan enakmen dan ordinan yang berkaitan.
Ia bertujuan untuk menaik taraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri, setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Langkah itu wajar supaya semua ketua adat boleh memainkan peranan strategik dalam membimbing, menyokong dan mendorong bagi pemerkasaan masyarakat tempatan.
Ia sekaligus membolehkan masyarakat secara keseluruhannya menyumbang kepada agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan pada tahun 2021.
Penganjuran rasmi perayaan Tahun Baharu Cina dan Krismas serta penubuhan Jabatan Kehakiman MAN Sabah, adalah bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap usaha menjaga keharmonian serta memperkukuh perpaduan rakyat negeri ini.
Tentunya dengan pengiktirafan sedemikian, rakyat berasa gembira dan senang hati, sekali gus menyumbang kepada kejayaan agenda pembangunan SMJ.
Sokongan rakyat terhadap hala tuju pembangunan itu penting, demi memastikan ekonomi negeri terus mengukuh, seterusnya dapat pula menarik minat lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Add Comment