Home » Sabah sedia peruntukan RM474.55 juta, perkukuh modal insan, pendidikan
Berita Tempatan Politik

Sabah sedia peruntukan RM474.55 juta, perkukuh modal insan, pendidikan

Hajiji berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Kesembilan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu antaranya untuk biasiswa dan dermasiswa, pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian.

Katanya, turut menerima peruntukan adalah operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri serta pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran.

Menurutnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan generasi akan datang yang cemerlang, berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan serta isu pendidikan sebagai sebahagian agenda negara, selain secara berterusan meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Kesembilan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, pendekatan pembelajaran sepanjang hayat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun mendapat pendidikan prasekolah secara formal, malah orang dewasa boleh mendapat pendidikan seperti melalui Program KEDAP yang menyediakan pendidikan asas kepada ibu bapa yang buta huruf dalam masyarakat luar bandar. 

Beliau berharap kejayaan peserta KEDAP menamatkan program mereka, akan meningkatkan kadar celik huruf di negara ini sekali gus menjadi perangsang kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan. 

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 625 peserta KEDAP menerima sijil tamat belajar.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment