Home » FEMMBES antara aktiviti anjuran PMBS tahun ini
Berita Tempatan Politik

FEMMBES antara aktiviti anjuran PMBS tahun ini

MESYUARAT: Mohd Arifin (duduk tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama PMBS di Bilik Mesyuarat Wisma Muis.

KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) berjaya mengadakan mesyuarat pertama tahun ini dengan perancangan pelaksanaan beberapa program utama sepanjang tahun.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PMBS, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Bilik Mesyuarat Bangunan Wisma Muis itu turut merancang untuk mengadakan Festival Makanan Masyarakat Brunei Sabah (FEMMBES) sebagai kesinambungan terhadap Karnival Baurung-Urung yang berjaya diadakan selama dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi turut merakamkan penghargaan dengan kejayaan PMBS menganjurkan pelbagai aktiviti terutama Pengerusi Karnival Baurung-Urung 2023, Datuk Sapdin Ibrahim yang menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri tahun lalu.

Katanya, karnival itu turut memberi peluang kepada usahawan masyarakat Brunei memasarkan produk tempatan mereka. 

Sementara itu, Naib Presiden Tiga PMBS Datuk Masnah Matsalleh yang mempengerusikan FEMMBES berkata, acara ini dijangka akan diadakan pada 28 hingga 29 September tahun ini dengan pelbagai aktiviti dalam karnival selama dua hari terbabit.

“FEMMBES akan diadakan di kawasan perkarangan dan dewan Wisma Wanita Sabah.

“Ahli Jawatankuasa FEMMBES akan mengadakan mesyuarat sekali lagi untuk memperincikan secara lebih teliti berkenaan acara yang akan diadakan dalam festival yang julung kali diadakan khusus untuk makanan masyarakat Brunei di Sabah,” katanya semasa memberi taklimat semasa mesyuarat ini.

Katanya, acara kebudayaan yang turut  membabitkan generasi muda masyarakat Brunei juga akan ditonjolkan agar budaya ini akan terus diwarisi turun temurun.

“Kita juga akan melakukan pembaharuan dalam festival ini dengan mengadakan acara badondang, iaitu acara tradisi Brunei yang biasanya diadakan di majlis perkhawinan masyarakat Brunei sejak dahulu lagi, bagaimanapun acara seumpama ini sudah jarang diadakan.

“Acara berbalas pantun dalam bahasa Brunei juga turut dirancang untuk diadakan dalam festival ini dan acara kemuncak sudah tentulah acara Manumpah Ambuyat dan hidangan kuih muih tradisi masyarakat Brunei,” katanya.

Tambahnya, bagi memeriahkan lagi sambutan festival terbabit, booth atau gerai jualan makanan tradisi masyarakat Brunei juga akan dibuka.

Dalam mesyuarat ini juga, Mohd Arifin melantik Naib Presiden Dua, Datuk Ahmadshah Talip untuk mempengerusikan sambutan Hari Raya PMBS tahun ini.

Mohd Arifin juga mahukan semua cawangan PMBS seluruh negeri mengadakan aktiviti seperti yang dilakukan oleh cawangan PMBS Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Putatan dan PMBS Bandaraya Kota Kinabalu.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Saifuddin Tahir, Naib Presiden Satu Japar Osman, Setiausaha Agung Norhasan Ismail, Bendahari Agung Datuk Buthamam Mahmun, Ketua Penerangan Mohd Amin Muin dan AJP PMBS. 

— Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment