Home » Kelab pacuan empat roda diminta perbanyakkan aktiviti
Berita Tempatan Sukan

Kelab pacuan empat roda diminta perbanyakkan aktiviti

KUNJUNGAN: Jonathan (tiga kiri) ketika menerima kunjungan daripada kelab KGR Motor Sport.

RANAU: Semua kelab pacuan empat roda diminta supaya memperbanyakkan aktiviti berfaedah khususnya yang membabitkan belia di daerah ini.

Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata, penganjuran sukan lasak juga mampu membawa belia ke arah yang lebih baik dan sihat.

“Penglibatan belia dalam aktiviti berfaedah sangat penting supaya dapat terhindar daripada perkara tidak bermoral yang merosakkan masa depan mereka.

“Justeru, saya meminta supaya kelab sukan lasak seperti pacuan empat roda dapat menganjurkan aktiviti berfaedah setiap masa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pilihan Khas (JKPK) Malaysia, berkata demikian ketika menerima kunjungan Kelab Sukan Bermotor Kilimu Garage Ranau (KGR Motor Sport), di sini.

Jonathan turut memuji semua kelab pacuan empat roda di Ranau kerana aktif mempelbagaikan kegiatan positif melibatkan peserta dari dalam dan luar negeri.

Sementara itu, Pengerusi KGR Motor Sport, Ardie Zainurin memaklumkan, kelab mereka akan mengadakan kejohanan pada 1 Mac depan.

Katanya, objektif kejohanan itu menjadi asas bagi melahirkan peserta dari Sabah yang berkebolehan dan berpotensi dalam arena sukan kereta lasak di peringkat luar negara.

“Ia juga sebagai usaha untuk menarik minat ramai peserta dan penonton supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat,” katanya.

Ardie berkata, program ini sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha inap desa dan memberi peluang kepada penduduk tempatan yang berminat untuk membuka gerai jualan sepanjang acara berlangsung.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment