Seorang lelaki tempatan ditahan polis susulan kemalangan maut melibatkan pelancong asing di KM21 Jalan Semporna-Tawau dekat Semporna, semalam. – Gambar hiasan
SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan yang juga pemandu treler ditahan polis susulan kemalangan melibatkan tiga kenderaan menyebabkan dua pelancong asing maut serta lima lagi parah, dalam kejadian di KM21 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pemandu treler berusia 29 tahun itu, ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kemalangan antara treler dipandunya, van pelancongan serta sebuah lori lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh minima lima tahun dan maksima 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata kemalangan pada 3.30 petang itu dipercayai berlaku, selepas treler tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, melanggar van yang membawa enam pelancong Singapura serta Vietnam.
“Akibat pelanggaran dua kenderaan ini, serpihan kemalangan terbang ke cermin lori yang berada di belakang treler, dan kemalangan ini mengakibatkan seorang lelaki Singapura serta seorang wanita Vietnam yang menaiki van pelancongan itu, meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mohd Farhan berkata pemandu van iaitu lelaki tempatan serta empat penumpang van warga Singapura cedera parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata individu yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna Insp Hemkkumar Ayathuray di talian 012-3650021 atau talian balai polis 089-782020. -BERNAMA
— AWANI
Add Comment