Home » Asas kekuatan Parti Politik di Sabah
Politik Sudut Pandangan

Asas kekuatan Parti Politik di Sabah

Pendekatan kepimpinan Hajiji ingin membawa Sabah dan rakyatnya ke tahap yang berbeza, apabila baru-baru ini mendesak SEDIA, sebuah agensi kerajaan untuk mengenalpasti industri berdaya maju agar negeri tidak bergantung pada sumber tradisonal seperti minyak kelapa sawit, minyak petroleum dan hasil pertanian.

DALAM tempoh 60 tahun direkodkan kekuatan parti politik di Sabah bergantung pada pemimpin tertentu yang diyakini rakyat boleh menjadi sandaran untuk merealisasikan harapan.

Bermula dengan kepimpinan Tun Mustapha, Tan Sri Harris Salleh, Tan Sri Pairin Kitingan, Tan Sri Musa Aman dan kini Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Kepimpinan Hajiji akan melengkapkan tempoh sepenggal pada Oktober 2025 dan menuju penggal ke-2. Para pemimpin terdahulu hanya bertahan dua penggal kecuali era Tan Sri Musa.

Seperti pemimpin sebelum ini, Hajiji juga berhadapan dengan ramai pemimpin yang cuba memberi kepimpinan alternatif.

Dalam senario politik Sabah pada masa ini, antara pemimpin yang bersungguh-sungguh menjadi pemimpin alternatif adalah Datuk Shafie Apdal dan Datuk Bung Moktar Radin.

Dua pemimpin itu pernah mencuba pada 6 Januari 2023 mengambil alih kepimpinan negeri akan tetapi gagal.

Dua pemimpin itu masih akan mencuba menerusi PRN17 Sabah yang berkemungkinan bekerjasama.

Berpandukan pada rekod politik Sabah mana-mana pemimpin yang diberi mandat dalam pilihan raya akan mendapat mandat yang sama pada pilihan raya berikutnya. Keadaan ini lah yang ada pada Hajiji kerana beliau telah mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN16.

Pada PRN17, Hajiji mengetuai GRS walaupun berbeza sedikit berbanding PRN16 akan tetapi secara umumnya tidak jauh berbeza kerana berlaku “give and take” daripada segi sokongan.

Apa yang menjadi perhatian pada PRN17 adalah kewujudan Gagasan Rakyat, parti tempatan yang dipimpin sendiri oleh Ketua Menteri itu.

Gagasan Rakyat selain mendapat sokongan bekas-bekas ahli Bersatu, UMNO dan Warisan juga generasi muda khususnya undi18 dan pengundi kali pertama.

Pada PRN17 dijangka seramai 1.9 juta pengundi, 200 ribu daripada adalah undi18 dan pengundi kali pertama.

Pendekatan yang dilakukan pemimpin GRS dan Gagasan Rakyat khususnya kepimpinan muda yang digerakan oleh Datuk Fairuz Rendahan, Datuk Redonah Bahanda, Firdaus Akhbar Khan, Senator Anna Bell Perian, Azrul Ibrahim, Ceasar Mandela Malakun dan ramai lagi adalah faktor pendorong ramainya golongan muda memberi sokongan.

Pendekatan kepimpinan Hajiji ingin membawa Sabah dan rakyatnya ke tahap yang berbeza, apabila baru-baru ini mendesak SEDIA, sebuah agensi kerajaan untuk mengenalpasti industri berdaya maju agar negeri tidak bergantung pada sumber tradisonal seperti minyak kelapa sawit, minyak petroleum dan hasil pertanian.

Sabah dalam usaha memajukan dan membangun negeri memerlukan peruntukan yang besar, atas sebab itu keupayaan kutipan hasil negeri perlu terus dipertingkatkan.

Keupayaan meningkatkan kutipan hasil negeri menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya dalam tempoh tiga tahun cukup memberangsangkan apabila untuk tahun 2021 mengutip RM5.449 bilion, 2022 sejumlah RM6.96 bilion dan tahun lalu RM6.973bilion.

Kutipan hasil yang terus meningkat membolehkan kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk pembangunan khususnya penaiktarafan kemudahan asas yang daif yang telah diwarisi.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .