Home » Subsidi penerbangan lambang perjuangan pimpinan gabungan
Politik Sudut Pandangan

Subsidi penerbangan lambang perjuangan pimpinan gabungan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Bersama Ketua Menteri Sabah di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang .

AIDILFITRI hadir dalam tempoh seminggu lagi. 1 Syawal saat indah dinantikan penuh nostalgia. Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat bersama keluarga tercinta.

Lagu `Balik Kampung’ nyanyian lagenda Sudirman Arshad mulai berkumandang di sana-sini. Mengamit perantau pulang. Bersama orang tersayang di pagi Lebaran.

Bagi pelajar Sabah di Semenanjung, Labuan dan Sarawak, Aidilfitri tahun ini amat bermakna dan tentunya indah dirasakan.

Apa tidaknya, mereka berkesempatan untuk pulang beraya menerusi subsidi tiket penerbangan RM600 seorang yang disediakan oleh kerajaan Sabah — kali pertama tercipta sejarah 60 tahun pembentukan Malaysia.

Pemberian subsidi yang membabitkan peruntukan RM10 juta itu, adalah petanda jelas keprihatinan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor.

Dikatakan demikian kerana bantuan `one off’ RM600 seorang itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri.

Ia melibatkan semua pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Khabar gembira itu diumumkan sendiri oleh Hajiji pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung, menerusi satu program di George Town, Pulau Pinang, pada 25 Mac lepas.

 Hajiji melayani swafoto ketika beramah mesra dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi IPT di Semenanjung, di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang.
MESRA: Hajiji melayani swafoto ketika beramah mesra dengan sebahagian pelajar yang hadir sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi IPT di Semenanjung, di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang.

Pengumuman Hajiji itu disambut sorakan gembira pelajar yang hadir berbusana penuh warna-warni pada majlis itu. Reaksi spontan itu petanda rasa girang mereka, kerana dapat pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Bagi ibu bapa pelajar, pemberian subsidi penerbangan itu amat melegakan. Apatah lagi mutakhir ini, isu harga tiket penerbangan antara Semenanjung dan Sabah terutama pada musim-musim perayaan, begitu hangat diperdebatkan.

Dengan pemberian subsidi berkenaan amat membantu dan meringankan beban ibu bapa, tatkala suasana ekonomi global masih merangkak perlahan.

Terima kasih atas keprihatinan pimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama PH Plus, yang terus meletakkan isu pendidikan anak-anak pewaris bangsa sebagai keutamaan.

Pemberian subsidi penerbangan itu membawa signifikan amat besar kepada setiap pelajar.

Ini kerana kegembiraan mereka dapat beraya bersama keluarga, secara lazimnya akan meningkatkan produktiviti dan semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian yang sedang diikuti.

Bayangkan jika seseorang pelajar tidak berkesempatan pulang menyambut Aidilfitri. Menanggung rindu dan rasa pilu, hati pun menjadi sendu dan tidak menentu. Lalu akhirnya mungkin boleh menyebabkan kemerosotan prestasi akademik.

Di sisi lain, agenda pendidikan dan pembangunan modal insan sememangnya menjadi antara keutamaan Hajiji semenjak menerajui kepemimpinan negeri pada tahun 2020.

Baginya, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan, seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Pelbagai usaha dan inisiatif diperkenalkan bagi memperkasa agenda pendidikan diperkenalkannya, sebagai termaktub dalam Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sekadar menyebut sebahagiannya, kerajaan negeri telah mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi memudahkan pengumpulan dana khas pendidikan, bertujuan untuk membantu para pelajar IPT yang kurang berkemampuan.

Tabung itu dilancarkan pada Jun 2022 dan difahamkan sudah mengumpul dana sebanyak RM54 juta setakat November lepas.

Di samping itu, kerajaan negeri telah menambah dana biasiswa daripada RM50 juta kepada RM100 juta setahun bagi anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan.

Bantuan pendidikan lain termasuk pemberian secara `one off’ RM1,500 kepada pelajar yang pertama kali masuk IPT di peringkat Diploma, dan RM2,000 bagi yang ditawarkan pengajian peringkat Sarjana Muda.

Kerajaan negeri menyediakan RM10 juta setiap tahun untuk membiayai kemudahan pendidikan ini, dan semenjak tahun 2021 hingga kini, seramai 15,046 orang anak-anak Sabah telah dapat menikmati kemudahan pemberian itu.

Selain itu, banyak lagi bantuan seumpamanya disediakan oleh kerajaan, antaranya Bantuan Ihsan Komputer Kepada Pelajar (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) khusus untuk mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM.

Bantuan yang disediakan tidak hanya terhad kepada golongan pelajar, malah setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut sama diberikan bantuan RM2,000 bagi melicinkan aktiviti PIBG di sekolah-sekolah, bertujuan membantu memajukan bidang pendidikan di Sabah.

Sebagai tambahan, Kumpulan Yayasan Sabah turut menyediakan peruntukan besar untuk pendidikan anak-anak tempatan melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.

Tahun ini saja, sejumlah RM67.4 juta dperuntukan disediakan, iaitu peningkatan signifikan berbanding RM53.8 juta pada tahun lalu.

Sekali lagi, usaha yang dilaksanakan itu menunjukkan komitmen tinggi pimpinan kerajaan gabungan hari ini ke arah meningkatkan taraf kualiti kehidupan dan pendidikan rakyat negeri Sabah.

Berbalik pemberian subsidi penerbangan itu, iltizam Hajiji nampaknya menjangkau jauh seujana mata memandang, dengan mengambil kira potensi sekalian mahasiswa dan mahasiswi sebagai pelapis pimpinan masa hadapan.

Beliau menitipkan harapan agar mereka menekuni pembelajaran hari ini demi hari esok yang lebih baik.

Baginya, Sabah dan negara amnya memerlukan penyertaan serta keterlibatan siswa-siswi semua dalam membawa negeri dan negara ke arah kemajuan yang lebih tinggi.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment