Home » Hajiji hadir mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara
Berita Tempatan Politik

Hajiji hadir mesyuarat pertama Majlis Tenaga Negara

MESYUARAT: Anwar (duduk, tengah) dan Hajiji (duduk empat kanan) bergambar bersama ahli Majlis Tenaga Negara sebelum mesyuarat bermula.

PUTRAJAYA: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menghadiri mesyuarat Majlis Tenaga Negara yang julung kali diadakan bagi menggariskan hala tuju dan dasar strategik Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini kelmarin bagi membincangkan beberapa isu utama mengenai keperluan tenaga semasa dan masa depan negara.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah kemas kini mengenai 10 projek perdana di bawah NETR termasuk satu projek perdana Sabah, Keselamatan Tenaga Sabah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan tujuh menteri kabinet Persekutuan hadir sama mesyuarat itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

— TAMAT