PETALING JAYA: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) sudah menghantar surat tuntutan kepada penyebar tuduhan salah guna kuasa wang zakat yang didakwa digunakan untuk membayar bonus kakitangannya.
Yang Dipertuanya, Yahya Hussin, berkata surat tuntutan itu dihantar semalam, antara lain ia menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan itu, jika gagal berbuat demikian.
Katanya, laporan polis turut dibuat pada 28 Mac lalu bagi menjaga nama baik Muis dan pihaknya sedia disiasat polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan salah guna kuasa itu.
βIa untuk memastikan imej dan integriti Muis dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa ada sebarang unsur salah guna kuasa seperti didakwa,β katanya menurut Harian Metro.
Terdahulu, ketua pegawai eksekutif Muis didakwa mengarahkan pembayaran bonus kakitangan menggunakan tabung zakat dan pemindahan RM14 juta dari tabung zakat ke tabung am (pengurusan), tanpa kelulusan.
Muis menafikan tuduhan itu yang disifatkannya fitnah berniat jahat untuk menjatuhkan imej badan Islam berkenaan.
— TAMAT
Add Comment