Home » JHEWAniaga bantu usahawan wanita pasarkan produk ke peringkat global
Berita Tempatan Politik

JHEWAniaga bantu usahawan wanita pasarkan produk ke peringkat global

CEMERLANG: Flovia (dua kiri) menyampaikan cek cura kepada kepada penerima anugerah khas JHEWA disaksikan oleh Maria (kiri) dan Haslina (kanan).

KOTA KINABALU: Portal JHEWAniaga membantu para usahawan memasarkan produk sehingga ke pasaran antarabangsa. 

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, portal itu merupakan alternatif penting yang mampu meningkatkan pembangunan ekonomi para usahawan wanita khususnya. 

“Usahawan kini memerlukan saluran digital untuk menyebarkan informasi seterusnya mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Oleh itu, portal JHEWAniaga dibangunkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah yang merupakan inisiatif bermanfaat untuk membantu para usahawan dalam mempromosi dan memasarkan produk atau perkhidmatan sehingga ke pasaran global dengan hanya menjalankan perniagaan secara atas talian. 

“Portal ini juga dapat membantu meringankan beban para pengusaha kecil-kecilan tanpa melibatkan kos yang tinggi seperti bayaran sewa kedai, kos pekerja dan lain-lain sekaligus dapat mengurangkan kos perniagaan.

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf keperluan e-dagang demi meningkatkan pembangunan ekonomi usahawan kecil, mikro dan sederhana (PKMS) di negeri Sabah dan saya sarankan agar usahawan wanita khususnya dapat memanfaatkan portal ini untuk membuka lebih banyak peluang dalam mempromosikan perniagaan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng sempena Majlis Apresiasi Usahawan Wanita JHEWA Tahun 2024 di salah satu hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Disamping itu, beliau juga memaklumkan kerajaan negeri turut prihatin membantu para usahawan wanita yang kurang berkemampuan mengembangkan perniagaan.  
 
“Kerajaan negeri melalui KPMKR telah memperuntukkan sebanyak RM 6.35 juta kepada JHEWA bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita antaranya Program keusahawanan ibu tunggal, wanita berkahwin dalam kategori B40 dan para usahawan wanita.

“Usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita di Sabah,” ujarnya.

Flovia turut menyampaikan empat anugerah khas iaitu Anugerah Usahawan Kreatif dan Inovatif, Anugerah Usahawan Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro dan Anugerah Usahawan Cekal kepada  wanita Sabah bimbingan JHEWA atas pencapaian dan kejayaan perniagaan yang membanggakan sepanjang dua tahun.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPMKR, Maria Chong, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment