KOTA KINABALU:Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) berkuat kuasa 10 Jun.
YPNM dalam surat pelantikan itu antara lain berharap pelantikan tersebut akan mengukuhkan lagi visi badan tersebut dalam melaksanakan misi dan visi badan tersebut khususnya bagi melindungi kepentingan pengguna.
Sementara David ketika mengulas pelantikan berkenaan merakam terima kasih kepada YPNM kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui badan berkenaan di Sabah.
“YPNM didaftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Visi kami adalah untuk melindungi kepentingan hak-hak pengguna Sabah dan bekerjasama dengan semua jabatan agensi kerajaan negeri, persekutuan dan dan sektor swasta di Sabah.
“Kerjasama antara Sabah dan persekutuan adalah untuk menangani isu-isu kepenggunaan dalam memberi manfaat yang besar kepada pengguna-pengguna di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Jelas David, selaku Pengerusi YPNM Sabah baharu, beliau menyokong penuh penstrukturan semula subsidi minyak diesel bagi mengekang penyeludupan dan salah guna sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
“YPNM Sabah juga turut mengucapkan kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Armizan Mohd Ali dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan mengecualikan harga baharu diesel untuk wilayah Sabah dan Sarawak
“Hal ini kerana landskap Sabah yang begitu luas dengan jalan berbukit dan tidak menentu, terpaksa banyak menggunakan kenderaan pacuan empat 4 roda dan sudah tentu penggunaan minyak diesel yang banyak, termasuk bot-bot besar dan kecil untuk menghubungkan kawasan pedalaman Sabah,” katanya.
Sementara itu, David meminta pihak berkuasa sentiasa memantau sebarang ketirisan minyak diesel bersubsidi yang diberikan kepada semua pengguna di Sabah.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna meminta syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak tetapi belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali turut meminta syarikat berkenaan yang telah memperoleh kelulusan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian bahan api.
— TAMAT
Add Comment