TAWAU: Rakyat di negeri ini perlu menerapkan sikap kepedulian yang tinggi terhadap situasi keselamatan dan kesejahteraan di kawasan penempatan masing-masing.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sikap kepedulian itu mampu memelihara nikmat keamanan dan ketenteraman yang dikecapi di negeri ini.
Katanya, perkara itu sejajar dengan tuntutan dan syariat ibadah korban yang dilaksanakan oleh seluruh Umat Islam pada ketika ini.
“Ibadah korban mengajar tentang sikap kepedulian kita terhadap orang lain terutamanya terhadap ahli keluarga dan jiran-jiran sekeliling.
“Ia juga mengajar kita tentang sikap cakna atau peduli dengan orang lain dan melatih amalan bersedekah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada Program Libat Urus dan Sambutan Hari Raya Aidiladha ESSCOM Bersama Komuniti Dengan Kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Apas di Kampung Inderasabah, di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama Nizam berkata, semua pihak perlu meyakini keupayaan dan kewibawaan pasukan keselamatan khususnya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang disokong komuniti Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Saya juga yakin melalui kekerapan operasi-operasi keselamatan yang dikoordinasikan oleh ESSCOM dan ‘show of presence’ bersama-sama pasukan keselamatan lain telah menyumbang peningkatan rasa selamat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut Nizam yang juga wakil rakyat Apas turut mengucapkan syabas kepada ESSCOM dan pasukan keselamatan di ESSZONE kerana telah mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020.
Katanya, jaminan keselamatan yang sedia wujud ini telah memberi impak sangat besar kepada peningkatan tahap ekonomi masyarakat ESSZONE melalui sektor perladangan, perdagangan dan pelancongan.
“Saban hari statistik penambahan pelancong di ESSZONE menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dan ini membuktikan kehadiran ESSCOM mewujudkan persekitaran hidup lebih selamat.
“Justeru, saya menyeru penduduk Kampung Inderasabah supaya meneroka potensi produk pelancongan maritim yang baharu selain bergantung dengan hasil laut,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali menggadai kedaulatan negara dengan menjadi tali barut kepada kumpulan-kumpulan radikal mahupun terlibat dengan aktiviti jenayah yang memudaratkan.
“Kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sabah khasnya, perlu menumpahkan taat setia kepada negara sebagaimana Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.
Turut hadir, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Aziriansyah Ali.
— Hamzah Sanudin
Add Comment