Home » Budaya pantun perlu dihidupkan semula selari arus zaman
Berita Tempatan Politik

Budaya pantun perlu dihidupkan semula selari arus zaman

SUMBANGAN: Rina menyampaikan sumbangan untuk aktiviti di SK Bandar II Tawau.

TAWAU: Budaya pantun yang dahulunya pernah menjadi pertuturan masyarakat di negara ini perlu dihidupkan semula agar tidak hilang ditelan zaman serta dilupakan oleh generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, budaya pantun mempunyai keunikannya tersendiri kerana berupaya menyampaikan mesej atau maklumat dengan lembut dan adab santun.

Katanya, budaya pantun harus disegarkan dan diinovasikan selari dengan arus zaman agar generasi muda lebih menerimanya

“Ia sekali gus dapat membentuk generasi muda menjadi lebih kreatif dalam mengadaptasi budaya berkenaan pada masa kini.

“Mungkin kita boleh menganjurkan program pantun yang dapat menghimpunkan semua penggemar pantun di negeri ini.

“Kita juga perlu membabitkan penyertaan segenap lapisan umur kerana pantun adalah salah satu hiburan dan mempunyai penggemarnya tersendiri,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Tawau 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tawau II di sini, hari ini.

Menurutnya, di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga dituntut supaya lebih banyak mengadakan program berkaitan pantun diadakan di sekolah.

Rina berkata, ia adalah sebagai usaha dalam mengangkat budaya berkenaan selain memupuk minat berkarya dalam kalangan pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

“Program pantun harus diberikan sokongan ke arah memartabatkan budaya melayu yang dilihat semakin kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Kita juga bersedia membuka peluang dengan mengadakan kolaborasi bersama pihak yang berminat untuk menganjurkan program pantun ini,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment