RANAU: Pengukuran Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) akan dilaksanakan di Zon Turuntungon melibatkan lapan buah kampung.
Kampung terlibat termasuklah Tarawas, Pahu Pinawantai, Pinawantai, Turuntongon, Monggis, Togop Laut, Togop Darat dan Daramakon.
Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, program PANTAS yang sudah dilaksanakan di empat Zon di Ranau adalah kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah permohonan tanah oleh penduduk di kawasan Zon Turuntungon berikutan banyak permohonan tanah bertindih.
Katanya, keadaan itu menyukarkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) memproses permohonan penduduk.
“Sebelum pelaksanaan projek, penduduk diberi pencerahan oleh pihak Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Jaidi Gulis, dan Penolong Pengarah Juru ukur Pantai Barat (Utara), Quzaimi Hassan dalam sesi taklimat yang diadakan di Balai Raya Kampung Pinawantai.
“Hasil daripada sesi taklimat ini, satu jawatankuasa khas PANTAS akan dibentuk di setiap kampung dan setiap kampung perlu ada wakil bersama dengan ketua kampung ini bagi memudahkan proces permohonan di pejabat PPHT,” katanya semasa hadir dalam taklimat terbabit.
Sesi taklimat yang diadakan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang dihadiri 800 penduduk dari lapan kampung termasuklah kampung Ketua-ketua Kampung, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk kampung serta warga kerja UPPM Kundasang.
Turut hadir Setiausaha politik I dan II Kementerian Datuk Jonnybone Kurum dan Yubidi Gompoyo, Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Dounis Sani, Ketua Daerah Ranau OKK Dominic Ganie, Ketua- ketua Anak Negeri (KAN) dan Wakil-wakil Ketua Anak Negeri (WKAN).
— Vivi Olviana Najurus
Add Comment