TAWAU: Kolaborasi antara HRD Corp dan Kolej Komuniti Tawau dilihat satu langkah tepat bagi memberikan peluang kepada komuniti dalam mempelajari pelbagai kemahiran baharu.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan Sabah sangat prihatin dan sedang berusaha melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri turut memperkasa dan memperkukuh pusat latihan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja separa mahir, mahir dan berpengetahuan bagi memenuhi keperluan pelabur.
“Kolej Komuniti telah merangka satu pelaksanaan program melalui Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp.
“Program itu memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang khususnya di Tawau untuk menambah pengetahuan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival TVET ‘National Training Week’ Kolej Komuniti Tawau, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri komited dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat sesuai dengan objektif Minggu Latihan Kebangsaan ini.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah mengadakan 10 lonjakan bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPMPT).
“Salah satu lonjakan penting bagi hala tuju Kolej Komuniti adalah Lonjakan 3, iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat,” katanya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, NTW 2024 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan inisiatif ini kepada rakyat Sabah.
Menurutnya, sebanyak lebih 500 program percuma yang ditawarkan sempena NTW 2024 ini termasuklah sesi latihan, bengkel, dan seminar dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan rakyat Sabah.
“Selain itu, ia juga dapat menjadi tempat mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat, di mana rakyat digalakkan untuk sentiasa memperbaharui dan meningkatkan kemahiran mereka.
“Dengan adanya program latihan yang komprehensif dan inklusif yang ditawarkan di NTW, kita mampu melahirkan generasi pekerja yang mahir serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Terdahulu, seramai 200 orang peserta terdiri semua lapisan peringkat umur merangkumi golongan belia, B40, pengusaha, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan komuniti setempat menyertai NTW di Kolej Komuniti Tawau.
Add Comment