Home » Harap MARA pertimbang wujudkan Kolej Profesional MARA di Sabah: Arifin
Berita Tempatan Politik

Harap MARA pertimbang wujudkan Kolej Profesional MARA di Sabah: Arifin

ALBUM: Arifin bersama Shahrizin dan Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama pelajar dan usahawan yang hadir pada Program Pemerkasaan Usahawan Luar Bandar (PPULB) Daerah Membakut.

MEMBAKUT: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berharap Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat mewujudkan sebuah Kolej Profesional MARA di Sabah bagi membolehkan pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

Mengulas lanjut, Arifin berkata MARA sebagai sebuah agensi kerajaan telah menyumbang banyak aspek kepada rakyat bukan sahaja di Sabah tetapi juga Malaysia amnya dari sudut pendidikan serta ekonomi dan beliau percaya dengan adanya kolej itu ia dapat membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup.


“Kita harap pihak MARA dapat merealisasikan Kolej Profesional MARA di Sabah. Mudahan MARA dapat mempertimbangkan perkara itu (mewujudkannya di Sabah), tidak kira di mana yang penting ada di Sabah.


“Terdapat lima buah Maktab Sains MARA di Sabah dan institusi ini banyak memberi manfaat dan jasa kepada anak-anak di Sabah, justeru dengan adanya Kolej Profesional MARA ia dapat mendokong pendidikan sedia ada, sekaligus menyediakan peluang melanjutkan pengajian, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program Pemerkasaan Usahawan Luar Bandar (PPULB) Daerah Membakut yang diadakan di Dewan Kesenian Islam, dekat sini pada Khamis.


Hadir sama Pengarah MARA Negeri Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat dan Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.


Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berharap MARA dapat membuka sebuah cawangan pejabat MARA di daerah itu bagi memastikan agensi itu dapat memberi bimbingan berterusan kepada rakyat termasuk usahawan setempat.


“Selain dapat memberi bimbingan berterusan saya percaya cawangan itu juga jika diwujudkan berupaya memudahkan sebarang urusan yang berkaitan kepada golongan sasar di masa akan datang, ” katanya.


Pada majlis itu, sejumlah RM10,000 diperuntukkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk bantuan pendidikan yang diagihkan kepada 100 pelajar B40 dari tiga buah sekolah menengah di daerah Membakut yang disampaikan Arifin.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment