Home » SDB lulus pinjaman RM8 bilion syarikat Semenanjung dari 2003 hingga 2018
Berita Tempatan Politik

SDB lulus pinjaman RM8 bilion syarikat Semenanjung dari 2003 hingga 2018

DUN: Masidi (tengah) bersama menteri dan ADUN kerajaan sebelum Persidangan DUN bermula.

KOTA KINABALU: Sebanyak RM8 bilion jumlah pinjaman diluluskan oleh Sabah Development Bank (SDB)  kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung bagi tempoh bermula 2003 hingga 2018.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 95 peratus syarikat yang terlibat adalah dalam sektor pembangunan hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Menurutnya, maklumat berkaitan nama pemilik syarikat tidak dapat didedahkan bagi memelihara tanggungjawab kerahsiaan di antara SDB dengan pelanggan selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.

Katanya, bagi tahun kewangan 2023, SDB akan mengumumkan kerugian yang belum pernah berlaku sebelum ini dan kemungkinan bagi tahun kewangan 2024 selaras dengan amalan terbaik dan standard (piawaian) perakaunan.

“Selepas bertahun-tahun melaporkan keuntungan, dalam lingkungan RM580 juta untuk enam tahun kebelakangan, SDB akan melaporkan kerugian kewangan yang besar bagi 2023 dan 2024.

“Bukan sahaja kerugian kewangan, tetapi juga kualiti aset pinjaman sedia ada adalah teruk iaitu daripada portfolio pinjaman sebanyak RM6.6 bilion pada akhir Mei 2024, 75 peratus atau RM5 bilion adalah pinjaman tidak berbayar (NPL),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai jumlah pinjaman yang diluluskan SDB kepada syarikat dari Semenanjung bagi tempoh 2003 hingga 2018.

Masidi berkata, kerugian kewangan sebelum ini pada dasarnya disebabkan oleh perkara-perkara seperti perakaunan kreatif, penyediaan peruntukan tidak mencukupi (under provision) dan kemerosotan tadbir urus.

“Apabila Lembaga Pengarah baharu mengambil alih pada Julai 2023, SDB berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kritikal dengan jumlah sebenar NPL sangat tinggi.

“Ia yang mengakibatkan pembiayaan terbatas untuk memenuhi obligasi bon yang matang dan tindakan pemulihan pula sangat lemah serta perlahan,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Kumpulan Lembaga Pengarah dan Pengurusan baharu mengambil tindakan yang drastik antaranya membuat semakan menyeluruh yang ketat terhadap operasi bank. 

Beliau berkata, NPL turut diperbetulkan dengan mengklasifikasikan semula pinjaman daripada 47 peratus pada Julai 2023 dan meningkat kepada 75 pada akhir Mei 2024.

Menurutnya, Bahagian Syarikat Pengurusan Aset (AMC) ditubuhkan yang diketuai oleh pakar yang berkelayakan untuk memulihkan NPL secara agresif. Pada akhir Jun 2024, kesemua 43 NPL (100 peratus) diambil tindakan undang-undang.

“Dengan sokongan kerajaan negeri, Lembaga Pengarah dan Pengurusan dapat menyelesaikan sebahagian besar pinjaman lama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan pembayaran balik ini, SDB dapat mengurangkan obligasi pembayaran bonnya.

“Pada September 2023 pinjaman adalah sebanyak RM5 bilion. Bagaimanapun, pinjaman ini berkurang kepada RM3.9 bilion pada hujung Mei 2024.

“Salah satu pinjaman GLC berprofil tinggi yang diwarisi ialah pinjaman SIP sebanyak RM1.4 bilion kepada SDB. SMJ Energy Sdn. Bhd. mengambil alih SIP dan menerbitkan dana sukuk untuk menyelesaikan hutang SIP sebanyak RM700 juta kepada SDB yang mana memberi penjimatan faedah sebanyak RM60 juta untuk 2024,” jelasnya.

Justeru katanya, ia membolehkan SDB untuk menyelesaikan bayaran balik bon yang ditanggung dengan penjimatan faedah sebanyak RM35 juta setahun.

— Siti Aisyah Narudin