BEAUFORT: Hampir 100 ahli dari parti Umno dan Warisan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan bertindak keluar parti masing-masing dan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan, di sini.
Daripada jumlah itu, 38 ahli Umno Cawangan Padas Damit diketuai Ketua Cawangannya manakala masing-masing 30 ahli Warisan dari Cawangan Kampung Luang dan Cawangan Kampung Suasa.
Borang keahlian mereka diserahkan ketua cawangan masing-masing kepada Ketua PBS Bahagian Lumadan yang juga wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam di Mesyuarat Agung Tahunan PBS Zon Gadong, di sini, Ahad.
Selain hilang kepercayaan terhadap parti masing-masing, tindakan mereka menyertai PBS seterusnya menubuhkan cawangan baharu parti itu adalah kerana percaya dengan kepimpinan Ruslan.
Bagi Ketua Cawangan Umno Padas Damit, Mail Udin, 68, kepimpinan Umno ketika ini sering bertelagah sesama sendiri hingga ahli akar umbi turut terkesan dengan situasi tersebut.
Ekoran itu katanya, beliau mengambil keputusan ‘berhijrah’ ke PBS kerana sudah menemui kepimpinan sejati yang bekerja keras membela rakyat dan membangunkan kawasan Dun Lumadan.
“Terus terang saya katakan bahawa saya adalah penyokong kuat Umno namun saya sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Umno di kawasan dan di peringkat negeri yang sudah lari dari perjuangan asal.
“Situasi seumpama itu tidak berlaku dalam PBS khususnya di bawah kepimpinan Datuk Ruslan malah beliau adalah pemimpin sejati yang ikhlas bekerja untuk rakyat dan kawasan Lumadan ini.
“Kita dapat lihat masalah besar yang tidak pernah diselesaikan wakil rakyat sebelum ini seperti bekalan air dan banjir, telah diselesaikan beliau (Ruslan) hanya dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui.
Pendapat sama turut dikongsi Ketua Cawangan Warisan Kampung Luang, Jamain Bendilis, 49, yang menyertai PBS kerana sedar Lumadan sudah berubah di bawah kepimpinan Ruslan.
“Saya tertarik menyertai PBS kerana kepimpinan Datuk Ruslan yang tidak ‘pilih bulu’ dalam membantu rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi politik.. semuanya dibantu.
“Sikap seumpama ini tidak ada pada parti lain dan atas sebab itu saya menyertai PBS dan ingin berjuang bersama beliau (Ruslan) mempertahankan parti ini di Dun Lumadan,” tegasnya.
Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri menyambut baik penyertaan mereka ke dalam PBS yang membuktikan perjuangan parti itu menepati kehendak rakyat.
Beliau berkata, semua yang beliau lakukan di Dun Lumadan adalah amanah sebagai wakil rakyat yang harus ditunaikan dengan bersikap adil dan saksama dengan rakyat.
“Sebagai wakil rakyat, saya secara peribadi melaksanakan konsep ‘personal touch’ tanpa ‘pilih ‘bulu’ kerana saya akan bantu dan layan semua rakyat tanpa mengira ideologi politik, agama atau kaum.
“Kemasukan ramai ke PBS ini juga memberi gambaran bahawa akar umbi yakin dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan memilih PBS sebagai wadah perjuangan mereka.
“Pada masa sama yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi memperkasa kepentingan rakyat melibatkan bidang ekonomi, pendidikan dan sosial,” katanya.
— Iskandar Dzulkifli
Add Comment