Home » Insentif pemenang pingat emas SUKMA dinaikkan RM10,000
Berita Tempatan Sukan

Insentif pemenang pingat emas SUKMA dinaikkan RM10,000

SEMANGAT: Hajiji semasa bertemu dengan skuad Wushu negeri yang menyumbang tiga emas dan satu perak kepada kontinjen negeri.

KUCHING: Kerajaan negeri mengumumkan untuk meningkatkan insentif pemenang pingat emas Sabah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 sebanyak RM10,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, insentif yang akan diberikan kepada pemenang emas dalam sukan individu itu adalah RM5,000 lebih daripada jumlah yang diberikan sebelum ini.

“Pengumuman ini diharap dapat merangsang atlet kita untuk memberikan yang terbaik seterusnya memenangi emas dalam SUKMA.

“Sasaran Kementerian Belia dan Sukan ialah 40 emas dan diharapkan kita akan dapat mencapainya,” katanya.

KENANGAN: Hajiji merakamkan gambar kenangan bersama skuad Wushu negeri.

Beliau berkata demikian sebaik tiba di sini dan bertemu dengan skuad Wushu negeri yang menyumbang tiga emas dan satu perak kepada kontinjen negeri.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin dan Pembantunya Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Chef de Mission kontinjen Sabah Datuk Mansur Asun.

Hajiji berkata, jumlah bagi pemenang pingat lain akan diumumkan kemudian.

Difahamkan juga insentif tunai untuk sukan berpasukan akan dikaji semula.

“Bagi pemenang perak dan gangsa, kerajaan negeri akan menunggu cadangan daripada kementerian selepas tamatnya SUKMA.

“Oleh itu saya menasihatkan atlet supaya bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjaga disiplin diri demi nama baik Sabah,” katanya.

TAMAT