Home » Hajiji tunai tanggungjawab lulus biasiswa anak pemimpin pembangkang tanpa mengira latar belakang
Berita Tempatan Politik

Hajiji tunai tanggungjawab lulus biasiswa anak pemimpin pembangkang tanpa mengira latar belakang

Isu biasiswa anak-anak Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman (kanan) timbul susulan pendedahan oleh Hajiji (kiri) di Tuaran berhubung sikap pemimpin pembangkang yang membutakan mata terhadap kepimpinan sedia ada dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam meluluskan permohonan biasiswa anak kepada Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman, menunjukkan satu contoh dan teladan baik yang harus dicontohi semua.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata Hajiji tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana menyokong permohonan biasiswa tersebut sehingga bernilai jutaan ringgit.

“Malah, Ketua Menteri telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Ketua Menteri tanpa mengira latar belakang politik, masyarakat, agama dan kaum di Sabah.

“Sebaliknya dalam hal ini, Azis yang sepatutnya dipersalahkan kerana memohon biasiswa walaupun Azis dan isterinya berkemampuan menanggung kos kedua anaknya.

“Agak pelik apabila Azis dilihat berterusan memfitnah dan menyerang Kerajaan Sabah, termasuk Hajiji, sedangkan pada masa yang sama secara diam-diam telah pergi berjumpa Ketua Menteri bagi meminta sokongan biasiswa untuk anaknya.

“Ini satu tindakan hipokrit yang tidak patut diamalkan oleh mana-mana ahli politik, khususnya di Sabah,” kata Zulkarnain dalam kenyataan yang dipetik oleh Harian Ekspres.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar tindakan Hajijidalam meluluskan permohonan biasiswa anak kepada Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman, menunjukkan satu contoh dan teladan baik yang harus dicontohi semua. FOTO: NIZAM ZAIN

Beliau berkata, Azis dan Parti Warisan sering melaungkan perjuangan untuk rakyat Sabah, dengan itu alangkah baiknya kalau wang perbelanjaan gerakan politik Azis, termasuk Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, dapat disalurkan bagi membiayai pelajaran anak-anaknya, sambil memberikan peluang kepada anak-anak Sabah miskin yang cemerlang dalam keputusan akademik untuk memohon biasiswa tersebut.

Sementara itu, Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (Persantun) Datuk Najib Tay Abdullah berkata sikap Azis, yang terus membuat tohmahan terhadap Ketua Menteri, meskipun telah diberi ‘muka’ oleh kerajaan dalam isu kelulusan biasiswa anaknya, memperlihatkan sifat sebenar pemimpin pembangkang itu.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (Persantun) Datuk Najib Tay Abdullah .

Beliau berkata, sikapnya yang terus menyerang kepimpinan kerajaan GRS-PH Plus turut mengundang tanda tanya, sedangkan pada masa sama beliau ada masa pula untuk bertemu dengan Ketua Menteri atas tujuan permohonan berkenaan.

Jelasnya, ia secara tidak langsung juga memperlihatkan betapa hipokritnya pemimpin Warisan tersebut.

“Perkara ini didedahkan oleh Hajiji dalam satu majlis di Tuaran, di mana beliau jelas kelihatan agak kecewa dengan sikap pembangkang yang tidak henti-henti menabur dakyah songsang demi menghasut rakyat membenci kerajaan.

“Ia termasuk Azis yang tanpa berselindung hampir setiap masa menghentam kerajaan, tetapi rupa-rupanya dalam senyap-senyap ada bertemu dengan Hajiji mengenai urusan kelulusan permohonan biasiswa anaknya melanjutkan pelajaran.

“Kalaulah diibaratkan Hajiji itu kejam, beliau tidak akan sanggup ketepikan kepentingan politiknya demi membantu anak Azis. Inilah orang kata kufur nikmat,” katanya dalam satu kenyataan media, Rabu.

Kontroversi tersebut timbul susulan pendedahan oleh Hajiji di Tuaran berhubung sikap pemimpin pembangkang yang membutakan mata terhadap kepimpinan sedia ada dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

Jelas Ketua Menteri, Azis turut diselar kerana sikapnya yang agak keterlaluan, namun oleh kerana memikirkan kebajikan anak-anak Sabah, beliau terbuka untuk membantu memberi kelulusan biasiswa tanpa mengira bendera politik.

Sementara itu, Najib Tay pada masa yang sama meminta kerajaan terutamanya pihak bertanggungjawab supaya mengambil langkah bersesuaian agar isu seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Jangan permainkan kebaikan sesetengah pemimpin dan cuba bermain politik.

“Dalam isu ini, saya beranggapan Azis seorang yang mempunyai kemampuan atas kapasitinya sebagai bekas Timbalan Menteri Persekutuan dan bekas Ahli Parlimen, tetapi kita pun tidak tahu apa masalah beliau.

“Kenyataan saya bukan bermaksud untuk menafikan hak anak beliau atau mana-mana anak atau keluarga ahli-ahli politik lain, namun biarlah berpada-pada…janganlah diibaratkan bahawa sudah ditolong tetapi ucap terima kasih pun tidak, malah galak menghentam kerajaan lagi,” katanya.

Tambah Najib Tay lagi, sebagai pembangkang, Warisan harus menjadi medium sekatan dan imbangan yang adil, bukannya bersifat ‘hit and run’ dengan meninggalkan sikap enggan bertanggungjawab terhadap sesuatu isu.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment