KOTA KINABALU: Penjawat awam dan swasta di negeri ini digalakkan untuk memakai batik bermotifkan corak tempatan Sabah pada setiap Khamis.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, penggunaan batik bermotifkan lokal Sabah merupakan langkah mengekalkan tradisi seterusnya mampu mempromosikan produk tempatan.
“Saya mengajak semua pegawai kerajaan dan pekerja swasta menggunakan baju-baju batik lokal negeri ini sebagai satu cara kita untuk mendedahkan produk tempatan kepada masyarakat luar.
“Terdapat pelbagai motif menarik yang ada pada batik kita, antaranya bunga Rafflesia, Periuk Kera dan sebagainya yang harus kita kekalkan sebab ia merupakan tradisi kita.
“Jadi, saya menggalakkan kepada pengusaha batik dan kraf tradisi tempatan seperti manik serta tenunan agar lebih kreatif dalam membuat serta menghasilkan produk yang menarik dan berkualiti untuk diperagakan kepada orang luar,” katanya ketika ditemui media sempena majlis penganjuran Festival Kraf Borneo (FKB) 2024 di Pusat Beli-Belah 1Borneo pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menyarankan para pengusaha melaksanakan program atau latihan-latihan sebagai langkah memperkenalkan produk masing-masing.
“Yang perlu kita buat adalah promosi dan pemasaran yang berkesan, jadi saya menyeru pengusaha-pengusaha kraf kita ini menyertai program dan latihan yang berkenaan sebagai saluran menjual produk selain menambah kepakaran menghasilkan kraftangan.
“Sepertimana yang kita lihat di pentas tadi, anak-anak muda kita telah menjadi model dalam mempamerkan baju-baju tradisi, ini sekali gus satu cara mempromosikan kraf tangan, kita kena kembangkan dengan memberikan mereka latihan, dorongan dan paling penting sokongan dari pelbagai pihak termasuk kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, Jeffrey turut menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik FKB kepada 11 jabatan dan agensi yang terlibat menjayakan penganjuran FKB 2024.
Antaranya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Arkib Negeri Sabah.
— TAMAT
Add Comment