KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal insan di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorakkan masa hadapan negeri ini.
Beliau berkata, hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.
“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru, dalam aspek akademik, kerajaan negeri sentiasa memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Katanya, sejak 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.
Menurutnya, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan dan rintihan pelajar. Justeru, buat julung kalinya kerajaan memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.
Selain itu katanya, pada 2023, kerajaan menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM55 juta kepada RM101 juta.
Hajiji turut melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasakan serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.
“Ini adalah sebahagian dari inisiatif dan bantuan yang dirancang dan dilaksana oleh kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan di negeri ini melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang dirancang bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan negeri ini agar Sabah lebih maju ke hadapan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.
Beliau yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan negeri Sabah.
“Justeru, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi,” katanya.
Hajiji mahu siswa siswi UMS sentiasa mematuhi segala peraturan kampus, mendahulukan tanggungjawab sebagai pelajar serta berusaha dengan gigih untuk menjadi insan cemerlang serta menggunakan segala ilmu yang diperoleh di menara gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
— TAMAT
Add Comment