KOTA KINABALU: Seorang pemimpin PKR membidas Nur Jazlan Mohamed, yang mencadangkan Pakatan Harapan (PH) memohon maaf atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Umno pada masa lalu.
Menurut Razeef Rakimin (gambar atas), Umnolah yang sepatutnya berterima kasih kepada PH kerana menurutnya tanpa gabungan itu, parti berkenaan masih angkuh dan korup.
“Umno membusuk hingga ke usus dan diakui sendiri oleh beberapa pimpinan parti berkenaan. Tetapi selepas bersama PH barulah Umno perlahan-lahan bersih dari sikap angkuh, sombong serta jauh dari rasuah dan salah guna kuasa,” kata timbalan ketua penerangan PKR itu dalam catatan Facebook.
Razeef menjawab Ahli Majlis Tertinggi Umno itu yang berkata PH “sangat memerlukan” partinya untuk terus berkuasa.
Jazlan, yang mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRK Mahkota di Johor Sabtu lepas, berkata tiada pihak boleh mendakwa sebagai “tulang belakang” kerajaan perpaduan.
Nur Jazlan berkata PH mesti memohon maaf kepada Umno atas segala tuduhan yang menyebabkan Umno dipandang negatif oleh pengundi.
Nur Jazlan juga memberi amaran terhadap “keangkuhan”, dengan menyatakan bahawa ia boleh memecahkan kerjasama antara parti, yang penting bagi kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRU akan datang.
Bagaimanapun, Razeef berkata Umno tidak seharusnya mendabik dada Dengan kemenangannya dalam PRK Mahkota kerana ia tidak akan berlaku tanpa bantuan PH.
Dia menegaskan bahawa PH bekerja keras untuk memastikan penyokongnya keluar mengundi dan membuang undi mereka untuk calon Umno.
“Inilah perangai sesetengah pemimpin Umno yang masih belum terhakis, angkuh. Baru menang beberapa kerusi sudah mendabik dada,” katanya lagi.
Dalam PRK Mahkota, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mengalahkan calon Perikatan Nasional Mohd Haizan Jaafar.
Dia mengekalkan kerusi untuk Umno dengan majoriti 20,648 undi, atau kira-kira empat kali ganda daripada yang dicapai pada pilihan raya negeri pada 2022.
— TAMAT
Add Comment