BANDAU: Pesta Air disaran agar dimasukkan dalam kalendar tahunan Pelancongan Kota Marudu, sekaligus menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau, Datuk Maijol Mahap berkata, Pesta Air yang diadakan di Kampung Tambun itu boleh dijadikan acara tahunan kerana mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 500 pengunjung daripada masyarakat sekitar khususnya nelayan tempatan.
Jelasnya lagi, acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan sukan tradisi, tetapi juga menarik perhatian pengunjung dari pelbagai daerah.
“Pesta Air ini jelas membuktikan bahawa sukan tradisi mampu menyatukan masyarakat dan mempromosikan keindahan Teluk Marudu.
“Semoga pesta ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua. Suasana ceria dan meriah dapat dilihat sepanjang acara berlangsung, dengan pelbagai aktiviti air yang memikat hati ramai”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Air Kampung Tambun di sini pada Ahad.
Sementara itu, Maijol turut menekankan pentingnya untuk rakyat menyokong kerajaan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi memastikan pembangunan negeri Sabah berterusan.
“Kawasan Bandau juga memerlukan perhatian pembangunan, dan kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan ini pada pilihan raya akan datang diharapkan dapat merealisasikan hasrat ini”, ujarnya.
Acara itu turut dihadiri oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bandau Sharif Kadah Sharif Osman, AJK Bahagian, ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi JKKK, dan ketua-ketua cawangan yang menunjukkan sokongan padu mereka terhadap acara tersebut.
— TAMAT
Add Comment