KOTA KINABALU: ‘Lead With Life’, program kesihatan dan kempen derma darah yang dianjurkan oleh Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), bakal diadakan pada 9 hingga 10 November 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Program ini bertujuan untuk merekrut penderma darah baharu, terutamanya dari kalangan belia wanita ahli Gagasan Rakyat, yang akan memimpin sebagai contoh teladan dalam komuniti.
Sebagai pengerusi program ini, Dr Davina Markus percaya bahawa langkah pertama untuk memberi kesedaran dan inspirasi kepada masyarakat luar adalah dengan menunjukkan teladan dari dalam parti kita sendiri.
“Belia wanita di Gagasan Rakyat diharapkan akan tampil ke hadapan dan menjadikan derma darah sebagai satu tanggungjawab sosial dan tanda komitmen kepada masyarakat.”
“Ini adalah kesempatan bagi ahli wanita kita untuk memperlihatkan bahawa pemimpin wanita mampu menjadi penggerak masyarakat yang berdedikasi dan berwibawa dalam usaha kemanusiaan”, ujarnya.
Program ini juga menawarkan ruang khas untuk penderma baharu yang dilengkapi dengan sudut cafe corner, cenderahati eksklusif, pemeriksaan gigi dan kesihatan percuma.
Melalui program ini, Dr Davina berharap agar mesej kesedaran tentang kepentingan derma darah dapat disebarluaskan ke seluruh negeri, terutamanya di kalangan generasi muda.
“Adalah harapan kami agar masyarakat dapat menyaksikan keberanian dan komitmen ahli wanita PGRS yang bersedia memberi melalui “Your 1st Drop Gives A Lifetime Impact, Lead With Life!”.
“Amatlah dialu-alukan sokongan semua pihak untuk menjayakan program ‘Lead With Life’ dan berharap agar inisiatif ini akan memberikan impak yang berpanjangan,” katanya.
–TAMAT
Add Comment