Home » Wujudkan lebih banyak inisiatif khusus kepada wanita muda di bawah Agenda Pembangunan Modal Insan – Emmie
Berita Tempatan Politik

Wujudkan lebih banyak inisiatif khusus kepada wanita muda di bawah Agenda Pembangunan Modal Insan – Emmie

Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Datuk Martin Idang

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Datuk Martin Idang mencadangkan agar diwujudkan lebih banyak Inisiatif khusus untuk wanita muda di menerusi agenda pembangunan modal insan di bawah Sekretariat Sabah Maju Jaya.

Emmie berkata, antara cadangan dari pihaknya adalah dengan memperbanyakkan program keusahawanan e-dagang di seluruh Sabah.

“Kita boleh wujudkan sebuah program khas di bawah Sabah Maju Jaya khusus untuk latihan penggunaan ‘online marketplace’ kepada seramai mungkin beliawanis dan bagi peringkat awal, kita sasarkan 3,000 usahawan baru e-dagang.

“Selain itu perbanyakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk Beliawanis di Sabah, perbanyakkan dana untuk berlakunya program conversion ‘TVET trainee-2-TVET Entrepreneur sert pewujudan dana khas/geran permulaan perniagaan wanita muda,” katanya.

Emmie berkata demikian dalam ucapan dasarnya di Persidangan Agung Tahunan (PAT) Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Jelas Emmie, cadangan tersebut selaras dengan strategi dan pendekatan baru untuk wanita muda di negeri ini.

“Untuk kita di Beliawanis, perhatian kita mesti tertumpu kepada kumpulan pelbagai. Sementara kita merapati mereka yang di dalam kumpulan umur bekerja, kita juga tidak boleh mengenepikan kalangan generasi wanita yang lebih muda kerana mereka adalah masa hadapan kita.

“Jangan lupa, demografi adalah faktor penting politik masa akan datang, golongan belia dan anak muda inilah merupakan asrt terbesar yang perlu kita jaga dan bentuk sejak dari awal lagi,” jelasnya.

Tambah Emmie lagi, Beliawanis perlu membawa gerak rasa dan arus pemikiran generasi muda Sabah dengan suasana ekonomi dan politik yang ada.

“Beliawanis mesti menjadi suara generasi wanita muda, Beliawanis juga mesti lantang menyatakan kerisauan fikir di kalangan anak-anak gadis di seluruh negeri ini,” katanya.

Emmie, sekali lagi menegaskan cadangan di mana Sabah Maju Jaya (SMJ) perlu mempunyai segmen Wanita Muda yang jelas dan ada strategi khusus untuk generasi muda wanita.

–Tamat.