Home » Tiga Rumah Mesra SMJ di DUN Kukusan siap dibina
Berita Tempatan Politik

Tiga Rumah Mesra SMJ di DUN Kukusan siap dibina

SERAH: Rina (dua kiri) ketika menyerahkan kunci rumah kepada salah seorang penerima.

TAWAU: Tiga lagi Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi kuota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon, di Kampung Jawa, Sentosa, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal berkata, setakat ini sebanyak 40 buah rumah sudah diserahkan kepada pemohon dan selebihnya masih dalam proses untuk disiapkan.

Katanya, semua penerima hari ini adalah mangsa kebakaran yang berlaku tahun lalu dan telah memohon untuk pembinaan Rumah Mesra SMJ di tapak asal rumah mereka.

“Sebenarnya ketiga-tiga pemohon ini adalah mereka yang bernasib baik kerana mendapat perhatian daripada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Pada asalnya tapak tanah ini belum ada status yang jelas, namun setelah saya memohon langsung kepada Ketua Menteri, barulah ia dapat digazet sebagai tanah perkampungan dan boleh didirikan Rumah Mesra SMJ,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika menyerahkan Rumah Mesra SMJ kepada tiga penerima, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, masalah di DUN Kukusan adalah kebanyakan penduduk tinggal di kawasan yang belum di gazet sebagai perkampungan walaupun sudah mendudukinya sekian lama.

“Ini menjadi kekangan untuk mereka yang mahu memohon Rumah Mesra SMJ terutamanya mangsa kebakaran kerana syarat permohonan adalah status tanah berkenaan perlu jelas pemilikannya.

“Bagaimanapun sebagai wakil rakyat, saya telah membuat permohonan beberapa kawasan untuk digazetkan sebagai tanah perkampungan ketika ini,” katanya.

 Rina ketika membuat pemeriksaan sebelum menyerahkan kunci rumah kepada penerima.
PERIKSA: Rina ketika membuat pemeriksaan sebelum menyerahkan kunci rumah kepada penerima.

Sementara itu, Rina menzahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menambah kuota Rumah Mesra SMJ ini kepada 40 buah setahun untuk semua DUN di Sabah.

Menurutnya, penambahan kuota itu adalah tanda keprihatinan Ketua Menteri terhadap rakyatnya terutamanya yang kurang berkemampuan untuk membina sebuah kediaman yang selesa.

“Kita berharap dengan penambahan kuota ini, lebih banyak lagi rakyat yang kurang berkemampuan dapat dibantu kerana sememangnya Rumah Mesra SMJ sangat diminati oleh rakyat.

“Saya mengalu-alukan penduduk Kukusan yang layak dan berminat, boleh membuat permohonan Rumah Mesra SMJ ini secepatnya,” katanya.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment