Home » My Journey, indahnya kisah masa lalu
Politik Sudut Pandangan

My Journey, indahnya kisah masa lalu

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)

MENATAP `My Journey’ seperti kita membaca novel sejarah. Sarat bermuatan pengalaman masa lalu. Berwarna-warni, indah dan nostalgik.

Ia bukan sekadar sebuah autobiografi. Bukan paparan retorik. Juga bukan sebuah animasi. Tapi sebuah buku inspirasi dari sebuah kehidupan sebenar. Mencatat perjalanan yang realistik.  Citra kehidupan seorang budak kampung yang kemudiannya menjadi pentadbir tertinggi negeri.

Seperti judulnya, My Journey adalah imbasan sebuah perjalanan. Ia membawa kita mengembara kisah masa lalu, seiring berjalannya waktu.

MY JOURNEY: Hajiji memegang naskhah bukunya bersama penulis (kanan) ketika berkunjung ke sudut pameran dan jualan buku penulis di Kota Kinabalu minggu lalu.

Di dalamnya tertulis riwayat pengalaman panjang. Yang tentunya boleh menjadi inspirasi.

Buku setebal 162 halaman ini adalah kompilasi kembara hidup seorang anak kampung yang biasa-biasa. Masa kecilnya yang indah, zaman remaja dengan cita-cita yang bergelora, kemudian fasa kerjaya dan dunia politik yang penuh pancaroba.

Siapa yang memiliki buku ini tentunya menjadi insan bertuah. Kerana cetakan pertama sudah habis ketika pelancaran 10 November lalu.

My Journey adalah karya eksklusif Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor — menceritakan kisah kehidupan masa lalu yang indah, kemudian menaiki tangga politik dari bawah, sebelum menduduki kerusi eksekutif teratas pada hari ini.

Seperti ditulisnya dalam prakata, buku ini bukan untuk mengangkat dan memuliakan dirinya, tapi untuk berkongsi pengalamannya secara jujur dan ikhlas.

Membaca bab pertama berulang kali, ia turut mengimbau kenangan masa kecil saya tinggal di Kampung Tahak, Membakut — berjalan kaki dalam gelap malam ke rumah atuk kami untuk menonton tv hitam-putih kecil saiz 12 inci menggunakan bateri kereta.

Kisah yang sama diceritakan dalam buku ini. Mungkin ada persamaan bagi generasi sezaman. Tapi tidak ramai membukukannya. Lantas, ia akan hilang dan pudar dalam ingatan generasi selepasnya.

Itulah sebabnya saya katakan, menatap My Journey seperti kita membaca novel sejarah. Sejarah ada nilainya tersendiri. Kerana sejarah tidak pernah berbohong.

Pada bab pertamanya, Hajiji menceritakan dengan penuh terperinci bingkai kehidupan keluarganya di desa kelahiran, Kampung Serusop, Tuaran.

Dilahirkan pada 10 Mei 1955, beliau mengimbas kenangan masa kecil bersama rakan sebaya di perkampungan itu yang menghadap laut di Teluk Sulaman.

Berjalan kaki bersama rakan sebaya ke pekan Tuaran adalah pengalaman menyeronokkan, biarpun jaraknya jauh berbatu-batu. Hanya sesekali dapat menumpang bot  mudik ke hulu, atau menaiki satu-satunya jip di kampung itu dipandu Encik Basun, seorang Sino-Dusun, meredah jalan raya becak berlumpur.

Berbeza dengan beberapa buku autobiografi yang pernah saya baca sebelum ini, My Journey boleh menjadi rujukan para ilmuan dan penganalisis, kerana turut merekodkan sejarah kepartian dan politik Sabah.

Lebih penting, ia turut memuat sejumlah tulisan dan analisis daripada akhbar tempatan tidak partisan, terutama berkaitan isu politik.

Saya teruja kerana salah satu daripada artikel termuat dalam bab ini `Hajiji, a big-hearted leader’ adalah terjemahan daripada tulisan saya yang pernah tersiar dalam Utusan Borneo.

Menarik dalam buku ini juga ditulis mengenai gelora politik Sabah pasca pilihan raya umum 2018, disusuli pergolakan pada 2020 yang kemudian membawa mandat kepada Hajiji menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri.

Hari-hari awalnya juga penuh cabaran. Pandemik COVID-19 menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) selama 12 hari dan kemudian kuarantin di rumah selama sebulan.

Halaman 85 buku itu, Hajiji menulis: “Selepas COVID-19 reda, saya menyedari keperluan untuk membina semula ekonomi negeri dan memulihkan kehidupan rakyat secepat mungkin. Pada 28 Mac 2021, saya melancarkan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga sektor penting, iaitu pertanian, industri dan pelancongan.”

Bermula dari situ, Hala Tuju SMJ menjadi bingkai pembangunan Sabah — sebuah cita-cita besar Hajiji membangunkan Sabah demi mencapai kemakmuran dan keadilan sosial bagi seluruh rakyat negeri ini.

Itulah Hajiji yang terpancar dalam `My Journey’ ini — sebuah pengkisahan masa lalu, membawa bersama sebuah gagasan besar untuk masa depan.

Pada penutupnya, Hajiji menulis: “Terima kasih kerana meluangkan masa membaca `My Journey’. Saya berharap anda mendapati ia sebagai bacaan yang bermanfaat. Mungkin, selepas bersara dari politik, saya akan meneruskan penulisan untuk melengkapkan perjalanan yang saya mulakan di Kg Serusup, Tuaran, beberapa dekad yang lalu.”

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment