Home » STAR teguh bersatu sokong Hajiji, UMNO dinasihat jangan campur tangan
Berita Tempatan Politik

STAR teguh bersatu sokong Hajiji, UMNO dinasihat jangan campur tangan

Timbalan Ketua Penerangan Parti STAR

KOTA KINABALU: Parti STAR Sabah yang merupakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan sokongan penuh kepada Pengerusi Gabungan itu, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Timbalan Ketua Penerangan STAR Sabah, Datuk Ardino Diris berkata, pada saat Sabah memerlukan kestabilan dan perpaduan, sebarang usaha untuk menggugat keutuhan kerajaan GRS adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merugikan rakyat.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor .

“Panggilan untuk beliau meletakkan jawatan adalah bermotif politik dan mengalihkan fokus kerajaan daripada membawa kemajuan serta menjaga hak Sabah, termasuk isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami menggesa UMNO agar tidak menjadi ‘tangan ghaib’ yang mencampuri hal ehwal politik Sabah kerana Sabah adalah negeri yang berdaulat dengan hak untuk menentukan hala tujunya sendiri.

“Sebarang campur tangan hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan merosakkan kemajuan yang telah kita capai bersama,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ardino berkata, Hajiji telah membuktikan kepimpinan yang teguh dan inklusif, serta membawa kestabilan yang amat diperlukan Sabah.

Bahkan, katanya, cubaan untuk menimbulkan perpecahan dalam GRS hanya akan melemahkan usaha memajukan negeri ini.

“STAR Sabah mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan dan kestabilan kerajaan.

“Kami menyeru semua pihak dalam GRS untuk terus bersatu dan fokus pada tanggungjawab terhadap rakyat Sabah.

“STAR Sabah juga akan terus berdiri teguh bersama YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor demi kestabilan, kemajuan, dan masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya.

–Mirlen Axtius