SATU petisyen daripada Sabah Youth Against Corruption (SYAC) telah dimuat naik di sebuah halaman web bertarikh 25 November 2024, menggesa Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) membincangkan proses membuka semula 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi balak terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (TSMA) yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jun 2020.
Selain bersifat mala fide (berniat jahat) petisyen tersebut, menunjukkan kebodohan dan tidak faham mengenai undang-undang negara, melainkan mengikut tafsiran sendiri, yang terbawa-bawa dendam, atas sebab, pemimpin dan parti yang mereka sokong hilang kuasa.
Untuk pengetahuan SYAC, permohonan yang difailkan oleh TSMA untuk pembatalan (striking out) pendakwaan terhadap beliau (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-46-02/2020)adalah suatu proses di bawah undang-undang.
Untuk menyokong permohonan tersebut,pihak guaman telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam Afidavit Sokongan Tan Sri Musa Aman. Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya daripada Hong Kong Independent Commission Against Corruption (ICAC), telah dilampirkan di dalam Afidavit tersebut.
Secara tambahan, pihak guaman TSMA juga telah memfailkan Afidavit dari mantan Peguam Negara Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani bin Patail (Tan Sri Abdul Gani).
Mungkin ramai yang lupa, TSMA sebenarnya pernah disiasat oleh ICAC dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara tahun 2008 hingga 2011. Sepanjang tempoh siasatan yang dilaksanakan oleh ICAC dan SPRM, kedua-dua pihak telah bekerjasama dan berkomunikasi, serta menjalankan siasatan masing-masing dengan profesional.
Setelah menjalankan siasatan secara menyeluruh, SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah, dan wang yang disiasat merupakan sumbangan politik. Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Mustafar Ali dan ICAC telah dimaklumkan melalui surat pada 9 September 2011.
Setelah menjalankan siasatan yang terperinci, pihak ICAC sendiri telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember 2011 kepada TSMA yang menyatakan bahawa siasatan terhadap beliau telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil.
Hasil siasatan ICAC jelas menunjukkan bahawa TSMA tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap anak guam kami.
Berkenaan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM ketika itu, hasil siasatan tersebut juga dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara pada tahun 2012. Kajian itu menunjukkan bahawa TSMA tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah atau apa-apa kesalahan pengubahan wang haram.
Hasil siasatan dan keputusan supaya tidak meneruskan atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap TSMA telah diperhalusi oleh, antara lainnya, mantan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani, mantan Ketua Bahagian Pendakwaan Dato’ Sri Tun Abd Majid bin Dato’ Haji Tun Hamzah, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohammad, dan mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Mustafar Ali.
Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan telah melalui saluran undang-undang yang sedia ada.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Peguam bela TSMA, Tuan Amer Hamzah dalam sebuah artikel yang ditulis oleh beliau, bertajuk “Pendakwa Raya V. Musa bin Aman: Fakta kes perlu diteliti secara adil“.
Perkara ini juga pernah telah dibangkitkan di Parlimen, di mana Mantan Menteri Undang-Undang Dato’ Seri Nazri Aziz menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara mendapati elemen rasuah tidak dibuktikan terhadap TSMA. Sumbangan yang diterima merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian TSMA.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, TSMA telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. 48 jam kemudian, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) telah melantik seorang lagi sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan TSMA.
Tindakan TYT dan perlantikan Ketua Menteri Sabah yang kedua ini dipertikaikan sebagai tidak sah, sepertimana dalam kes sivil TSMA ketika itu yang berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Di peringkat awal kes sivil tersebut, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan 7 November 2018 untuk keputusan (Keputusan Kes Sivil).
TSMA telah disahkan tidak melakukan kesalahan rasuah oleh ICAC dan SPRM setelah sekian lama. Tetapi, pihak berkuasa, atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui, membuat keputusan untuk menangkap dan mendakwa TSMA dua hari sebelum Keputusan Kes Sivil dibuat.
Perlu ditegaskan di sini, fakta kes beliau (TSMA) berbeza dengan kes Mahkamah Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi yang melibatkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di mana beliau telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Merujuk kepada laporan Berita Harian, keputusan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) DNAA Zahid telah menimbulkan persoalan dan persepsi. Antaranya, justifikasi diberikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dalam permohonan pada prosiding di Mahkamah Tinggi tidak mencukupi untuk dibuktikan, tata kelakuan pendakwaan yang kurang jelas dan bukti baru dibangkitkan melalui surat representasi Zahid kepada AGC dikatakan tidak mencukupi untuk mewajarkan pemberhentian prosiding pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Manakala siasatan ICAC dan SPRM dengan jelas menerangkan TSMA tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah.
Pendakwaan terhadap TSMA,adalah berasaskan keterangan dan fakta yang sama dengan siasatan rasuah yang telahpun disiasat dengan lengkap dan menyeluruh, oleh dua badan siasatan yang bebas (ICAC dan SPRM.)
Ia secara langsung atau tidak langsung, telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik beliau. Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap TSMA berniat jahat (mala fide) dan merupakan satu penganiayaan politik (political persecution)?
Jadi ,apakah motif sebenarnya untuk mendakwa TSMA pada November 2018?
Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada menyebut di bawah Perkara 7 (2) “…seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.”
Merujuk kepada fakta-kata yand disebut tadi, wajarlah beliau (TSMA) dilepaskan dan dibebaskan.
Ertinya petisyen yang dibuat SYAC, selain tiada merit, ianya perbuatan bodoh, dan membuang masa, dan tiada keperluan untuk dilayan, lagi pun berniat jahat terhadap TSMA
Dimaklumi, petisyen ini ada hubungkait dengan gerakan pemimpin dan penyokong parti Warisan yang bersungguh sangat mengumpul suara untuk memburukkan nama Musa, supaya tidak dicalonkan sebagai TYT ke-11 Sabah.
Gerakan SYAC, selain sia-sia, juga tidak akan dapat mempengaruhi Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri, membuat keputusan akan calon TYT ke-11 Sabah.
Seseorang yang dilantik sebagai TYT merujuk pada sumbangan dan jasa. Ertinya, pada masa kekosongan tersebut, seorang yang mempunyai sumbangan dan jasa melebihi yang calon lain, maka individu itu lah menjadi keutamaan atau pilihan.
Pada ketika ini, tiada mana-mana pemimpin atau calon lain yang boleh melampaui sumbangan dan jasa TSMA. Ertinya, TSMA adalah pilihan terbaik untuk dilantik sebagai TYT ke-11.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .
Add Comment