Home » 17 ‘projek sakit’, 420 projek belum mula di Sabah diberi keutamaan
Berita Tempatan

17 ‘projek sakit’, 420 projek belum mula di Sabah diberi keutamaan

Fadillah Yusof melakukan simbolik penyerahan penyerahan projek-projek siap JPS kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan 420 projek pembangunan yang masih di peringkat pra-pelaksanaan di Sabah akan diberi tumpuan pada tahun depan.

Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, keutamaan pada tahun depan adalah dari segi pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang masih belum dimulakan.

Katanya, jika dilihat terdapat 17 ‘projek sakit’ yang lewat disiapkan di Sabah dan jumlah itu tidak banyak berbanding projek di peringkat pra-pelakanaan iaitu 420 projek.

Pada masa ini, daripada 420 projek berkenaan, ada sebahagian projek yang telah mula dilaksanakan, ada yang telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dan ada juga masih dalam peringkat penilaian.

Justeru, kerajaan akan cuba menggunakan kaedah Pelan Pra-Kelulusan (PAP) yang sudah dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya di peringkat Persekutuan untuk dikongsikan kepada JKR Sabah.

Dengan adanya PAP, ia akan memudahkan kerajaan untuk mengenal pasti kaedah sesuai dalam pelaksanaan sesuatu projek termasuk menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepatkan penyiapan projek.

“Sabah mempunyai peruntukan yang besar tapi, malangnya tidak dapat mengunakan semua peruntukan tersebut.

“Apabila projek diberi kelulusan, kita tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah seperti penyediaan tanah tidak sesuai, kontraktor dilantik mempunyai masalah kewangan serta kekurangan bahan mentah.

“Malah, ada juga projek tidak dapat disiapkan sehingga kita terpaksa membuat lantikan kontraktor baharu dan ini melibatkan kos tambahan kerana bajet sedia ada tidak mencukupi. Jadi, kita kena minta ‘notice of change’ kepada Kementerian Ekonomi,” katanya selepas majlis penyerahan projek-projek siap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada kerajaan negeri Sabah, semalam.

Mengulas lanjut katanya, di bawah RMKe-12, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah meluluskan 82 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion untuk negeri Sabah yang mana jumlah peruntukan semasa di bawah RP4, RMKe-12 pada tahun 2024 adalah RM674.4 juta.

Selain itu, JPS Sabah telah diperuntukan sebanyak RM116.77 juta untuk pelaksanaan 27 projek dalam Rolling Plan 5 (RP5) demi kesejahteraan dan peningkatan sosio-ekonomi rakyat Sabah.

WO